Wujudkan tapak penghasilan daging di Kalabakan

Wujudkan tapak penghasilan daging di Kalabakan

MENTERI Pertanian dan Industri Asas Tani, Datuk Salahuddin Ayub (dua dari kiri) menyerahkan replika cek kepada Pengerusi PPK Kalabakan Saharuddin Salleh (kanan) pada majlis pelancaran bangunan baharu Pejabat Pertubuhan Peladang Kawasan Kalabakan bernilai RM1.6 juta di Tawau, hari ini. – Foto BERNAMA

TAWAU: Kementerian Pertanian dan Industri Asas Tani sedia mengkaji cadangan mewujudkan Tapak Kekal Pengeluaran Ruminan (TKPR) di Parlimen Kalabakan.

Menterinya, Datuk Salahuddin Ayub, berkata pihaknya akan meneliti secara terperinci cadangan itu termasuk mengenal pasti kawasan sesuai, selain peruntukan yang bakal disalurkan.

Beliau berkata, apabila dilaksanakan kelak, projek itu mampu meningkatkan pengeluaran daging tempatan sehingga 30 peratus.

“Saya yakin jika Kalabakan mampu memulakan dan merealisasikan cadangan ini, ia akan muncul sebagai salah satu hab pengeluaran daging tempatan di negara ini pada masa akan datang,” katanya.

Beliau berkata demikian pada sidang media selepas melancarkan bangunan baharu Pejabat Pertubuhan Peladang Kawasan Kalabakan bernilai RM1.6 juta, di sini hari ini.

Yang turut hadir, Menteri Pertanian dan Industri Makanan Sabah, Datuk Junz Wong dan Pembantu Menterinya, Dr Daud Yusof; Ahli Parlimen Kalabakan, Ma’mun Sulaiman serta Pengerusi Lembaga Pertubuhan Peladang, Datuk Mazlan Aliman.

Sementara itu, mengulas keadaan kemarau di seluruh negara, beliau berkata, kementeriannya sudah merangka pelan kecemasan termasuk menyalurkan pam air kepada petani bagi menyelamatkan tanaman padi diusahakan mereka.

“Kita juga bersedia menghadapi apa juga kemungkinan dan akan mengumumkan bentuk bantuan yang boleh disalurkan kemudian,” katanya. – Berita Harian

Komen