WATERFRONT LOGPOND BERNILAI 2-JUTA RINGGIT BAKAL JADI MERCU TANDA, TARIKAN TANJUNG BATU DIBANGUN AWAL TAHUN 2020

WATERFRONT LOGPOND BERNILAI 2-JUTA RINGGIT BAKAL JADI MERCU TANDA, TARIKAN TANJUNG BATU DIBANGUN AWAL TAHUN 2020

TAWAU; 30 NOVEMBER 2019 (Sabtu) – Projek pembangunan Waterfront Kampung Tanjung Batu Logpond Tawau dengan kos 2-juta ringgit yang dijangka akan dibangunkan bermula awal tahun depan bakal mengubah wajah kawasan berkenaan dan menarik lebih banyak pengunjung.

Anggota Dewan Undangan Negeri (ADUN) Tanjung Batu, Datuk Hamisa Samat berkata, kawasan ini akan menjadi mercu tanda DUN berkenaan dengan pelbagai aktiviti sosioekonomi apabila dijangka siap pada tahun depan.

Beliau berkata demikian kepada pemberita RTM selepas merasmikan Majlis Kenduri Sekampung di Masjid Aman Tanjung Batu.

Datuk Hamisa berkata, dengan pembinaan Waterfront itu kelak, pelancong mahupun masyarakat setempat kini mempunyai lokasi dituju bagi tujuan aktiviti riadah yang berlatar belakangkan alam semulajadi.

Sementara itu, beliau juga telah menyatakan kepada Menteri Perumahan dan Kerajaan Tempatan, Zuraida Kamaruddin agar pembinaan program Perumahan Rakyat (PPR) turut diberi perhatian agar dibina di Tanjung Batu berikutan permintaan tinggi penduduk Tawau terutamanya di Kampung terbabit.

Dalam pada itu, Datuk Hamisa turut berharap agar Pasarnita dapat diwujudkan di Tawau bagi menjana ekonomi wanita memasarkan produk jualan masing-masing seperti kraftangan, pakaian dan makanan.

Berkenaan program anjuran Majlis Pengurusan Komuniti Kampung (MPKK) Tanjung Batu itu, beliau optimis kerjasama penduduk menjayakan Majlis itu dapat mengeratkan lagi silaturrahim dan kebersamaan tanpa mengira perbezaan umur.

Majlis itu turut diisi dengan program berkhatan, Selawat ke atas Nabi Muhammad SAW, pertandingan memasak dan pemeriksaan Skim Peduli Kesihatan untuk Kumpulan B40 (PeKa B40). -BESTAWAUfm

#myTawau

Komen