Warnakan rambut elak dikesan polis

Warnakan rambut elak dikesan polis

PERODUA Kancil suspek ditarik naik selepas terjunam ke dalam Sungai Sembulan. FOTO Malai Rosmah Tuah

PENJENAYAH yang ditahan selepas kereta dipandunya terjunam ke dalam sungai di Kampung Sembulan, Kota Kinabalu, tengah hari tadi, dipercayai cuba mengubah wajahnya dengan menggunting dan mewarnakan rambutnya.

Ketua Polis Daerah Kota Kinabalu, Asisten Komisioner Habibi Majinji berkata, suspek berusia 28 tahun disyaki terbabit kes samun di sebuah rumah di Taman Hiburan, Jalan Penampang, jam 7.30 malam, 21 Januari lalu.

“Dalam kejadian samun itu, mangsa wanita berusia 30 tahun dikatakan baru tiba di hadapan rumahnya sebelum seorang lelaki tidak dikenali menghampiri dan menyamun mangsa.

“Akibat kejadian itu, mangsa parah di kepala akibat dipukul menggunakan benda tajam manakala barang kemas, wang tunai dan kad bank dilarikan.

“Mangsa yang parah dikejarkan ke hospital untuk rawatan lanjut,” katanya ketika ditemui di lokasi kejadian hari ini.

Habibi berkata, bertindak atas laporan polis dibuat ahli keluarga mangsa, sepasukan polis dari Jabatan Siasatan Jenayah (JSJ) Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) menjalankan risikan dan siasatan.

“Hasil risikan itu, polis menjejaki suspek di pusat beli-belah Centre Point dan ketika dia memasuki keretanya, anggota polis kemudian menyerbu dan cuba menahannya.

“Suspek yang berada di dalam kereta cuba melanggar anggota polis menyebabkan anggota serbuan melepaskan beberapa tembakan di bahagian hadapan kereta berkenaan,” katanya.

Menurutnya, dalam keadaan tayar kereta dipandu suspek pancit, dia memecut keretanya sehingga ke Kampung Sembulan sebelum hilang kawalan lalu terjunam ke dalam sungai.

“Suspek kemudian keluar dari kenderaan dan cuba berenang untuk melarikan diri namun berjaya ditangkap dan dibawa ke IPD Kota Kinabalu untuk siasatan lanjut,” katanya.

Beliau berkata, suspek berada di Centre Point dikatakan menggunting dan mewarnakan rambutnya dipercayai untuk mengelak dikesan pihak polis.

“Walaupun suspek menyamar, kita dapat mengenalpasti berdasarkan gambar yang kita rampas.

“Polis turut menemui barang bukti antaranya jam tangan dan baju digunakan ketika kejadian samun di Taman Hiburan,” katanya sambil menambah suspek memiliki tiga rekod jenayah membabitkan kes samun, curi dan mendatangkan kecederaan.

Beliau berkata, suspek ditahan untuk siasatan lanjut dan kes disiasat mengikut 394 Kanun Keseksaan kerana melakukan samun sehingga menyebabkan kecederaan,” katanya.

Hmetro

Komen