WARISAN terima kemasukan BERSATU ke Sabah

WARISAN terima kemasukan BERSATU ke Sabah

KOTA KINABALU: Presiden Parti Warisan Sabah (WARISAN), Datuk Seri Mohd Shafie Apdal berkata parti pimpinannya tidak mampu menghalang Parti Pribumi Bersatu Malaysia (BERSATU) atau mana-mana parti untuk melebarkan sayapnya ke Sabah.

Ketua Menteri Sabah itu menegaskan, WARISAN akan terus mengekalkan kerjasama dengan Pakatan Harapan (PH) dan berusaha memenuhi janji kepada rakyat demi kepentingan rakyat Sabah.

“Berhubung kemasukan BERSATU ke Sabah, kita tidak dapat menghalangnya, begitu juga parti lain. Undang-undang kita juga membenarkan parti baharu ditubuhkan. Kita bagaimanapun kekal dengan pendirian dan hala tuju kita,” katanya pada sidang media mengenai pendirian WARISAN berhubung keputusan BERSATU mengembangkan sayap ke Sabah, selepas Majlis Penganugerahan Pingat Kedaulatan Negara kepada anggota polis, di sini, hari ini.

Mohd Shafie berkata, beliau sedar perasaan penyokong WARISAN dan rakyat Sabah berhubung keputusan BERSATU dan menasihatkan mereka supaya tidak mengikut emosi.

“Nasihat saya ialah jangan mengikut emosi dan kita tumpukan kepada usaha membangunkan negeri untuk manfaat rakyat Sabah,” katanya.

Perdana Menteri yang juga Pengerusi BERSATU, Tun Dr Mahathir Mohamad sebelum ini mengumumkan bahawa BERSATU membuat keputusan untuk mengembangkan sayap ke Sabah walaupun WARISAN sebelum itu meminta supaya parti itu tidak ke Sabah seperti persefahaman dicapai mereka sebelum PRU-14 lalu.

Mohd Shafie berkata, tumpuannya untuk memastikan hak rakyat Sabah dikembalikan dan diakui seperti dipersetujui dalam Perjanjian Malaysia 1963 (MA63) juga kekal dalam perjuangan WARISAN.

“Rakyat Sabah memberi mandat kepada WARISAN untuk memerintah Sabah pada Pilihan Raya Umum Ke-14 (PRU-14). Mereka sudah bosan dengan kerajaan UMNO- Barisan Nasional (BN) dan mahu menukarnya untuk yang lebih baik.

“Kita hormati mandat itu dan akan terus mentadbir negeri sebaik yang kita mampu untuk memastikan apa yang rakyat Sabah mahu kita lakukan dari segi pembangunan dan menyediakan pekerjaan dapat kita tunaikan. Janji itu mesti ditunaikan,” katanya.

Sumber : Berita Harian

Mohd Izham Unnip Abdullah thaddius@bh.com.my

Komen