Warisan Sabah catat lebih 200,000 anggota

Warisan Sabah catat lebih 200,000 anggota

KOTA KINABALU – Parti Warisan Sabah (Warisan) mencatatkan lebih 200,000 anggota berdaftar sejak ia ditubuhkan pada 2016, kata Presidennya Datuk Seri Mohd Shafie Apdal.

Mohd Shafie yang juga Ketua Menteri Sabah berkata masih terdapat kira-kira 50,000 lagi permohonan yang masih dalam proses kelulusan.

“Kita (Warisan) akan meneliti secara mendalam bukan hanya pada jumlah keanggotaan tetapi juga nilai anggota. Itu menjadi keutamaan kepada parti.

“Kita mahu mereka (anggota) menyertai Warisan betul-betul berlandaskan perjuangan parti dan bukannya sesuatu perkara semata-mata… Dengan niat baik untuk memastikan kestabilan kerajaan dan perjuangan parti dapat dijayakan,” katanya kepada pemberita selepas mempengerusikan Mesyuarat Majlis Tertinggi Warisan di sini, hari ini.

Katanya Warisan akan melancarkan kad untuk anggota parti dan beliau berharap penambahan keanggotaan akan memantapkan lagi perjuangan parti. Mohd Shafie berkata mesyuarat berlangsung selama hampir tiga jam itu antara lain membincangkan pendekatan parti untuk meningkatkan lagi jumlah keanggotaan selain menentukan hala tuju memperkasa Warisan terutama selepas pilihan raya dan pemilihan parti.

Beliau berkata Warisan kini mempunyai 26 bahagian dengan lebih 700 cawangan parti telah diluluskan di seluruh Sabah dan jumlah cawangan itu dijangka bertambah memandangkan parti telah mendapat ‘lampu hijau’ daripada Jabatan Pendaftar Pertubuhan untuk menubuhkan cawangan lain.

Sementara itu, Mohd Shafie berkata mesyuarat itu turut mengumumkan pelantikan baharu lapan Anggota Majlis Tertinggi termasuk Menteri Pelajaran dan Inovasi Sabah Datuk Dr Yusof Yacob yang memegang jawatan sebagai Ketua Penerangan Warisan selain Menteri Kebudayaan, Seni dan Budaya Datuk Mohamaddin Ketapi dan Anggota Parlimen Labuan Rozman Isli.

Dalam perkembangan lain, Mohd Shafie yang juga Pengerusi Jawatankuasa Keselamatan Sabah berkata kerajaan negeri mengalu-alukan cadangan mahu pun perubahan yang ingin dilakukan kerajaan Persekutuan berkaitan Kawasan Keselamatan Khas Pantai Timur Sabah (ESScom).

“Kita (kerajaan negeri) akan sentiasa memberi sokongan penuh dan kerjasama sebaiknya apa sahaja struktur dikemukakan oleh kerajaan Pusat untuk dilaksanakan di peringkat Sabah kerana aspek keselamatan adalah penting,” katanya.

Mohd Shafie berkata demikian ketika diminta mengulas laporan sebuah portal berita yang memetik sumber sebagai berkata ESScom akan distruktur semula bagi mengurangkan kos. – Bernama

Komen