WARISAN kekal tak mahu BERSATU masuk Sabah

WARISAN kekal tak mahu BERSATU masuk Sabah

Ketua Menteri Sabah, Datuk Seri Mohd Shafie Apdal menjawab pertanyaan media ketika menghadiri Majlis Rumah Terbuka Krismas Parti Warisan Sabah di Borneo Sport Arena, Kolombong. – Foto Khairull Azry Bidin

KOTA KINABALU: Ketua Menteri Sabah, Datuk Seri Mohd Shafie Apdal, berkata Parti Warisan Sabah (WARISAN) pimpinannya kekal dengan pendirian supaya Parti Pribumi Bersatu Malaysia (BERSATU) tidak melebarkan sayap ke negeri ini.

Mohd Shafie berkata, beliau sudah menyatakan pendirian kepada Tun Dr Mahathir Mohamad selaku Pengerusi BERSATU sebelum Pilihan Raya Umum Ke-14 (PRU-14) bahawa WARISAN akan menjadi rakan Pakatan Harapan (PH), sekali gus BERSATU tidak akan masuk ke Sabah.

“Tidak ada mesyuarat (baru-baru ini) tetapi saya telah menyatakan kepada mereka (BERSATU) bahawa apa yang penting kita stabilkan kedudukan (WARISAN dan PH) di sini.

“Pada PRU-14 lalu, mereka mendengar (pendirian) kita, jadi diharapkan mereka akan terus mendengar,” katanya kepada pemberita selepas menghadiri Rumah Terbuka Krismas WARISAN di sini, hari ini.

Beliau mengulas mengenai usaha beberapa pihak untuk menubuhkan BERSATU di Sabah, termasuk beberapa wakil rakyat pembangkang yang dilaporkan menunjukkan minat untuk menjadi ahli parti berkenaan selepas meninggalkan UMNO, bulan lalu.

Mohd Shafie berkata, kerajaan negeri sentiasa menyokong perubahan yang dibawa kerajaan Persekutuan di bawah pimpinan Dr Mahathir dan penting bagi kedua-dua pihak untuk bekerjasama demi kepentingan rakyat.

Baru-baru ini, beberapa keping gambar menunjukkan bekas pemimpin UMNO negeri diketuai bekas Pengerusi Badan Perhubungannya, Datuk Hajiji Noor memegang borang BERSATU dipercayai permohonan untuk menyertai parti itu tersebar di laman sosial.

Bulan lalu, Hajiji mengetuai 13 wakil rakyat UMNO Sabah keluar parti dan menyatakan menjadi wakil rakyat Bebas.

Pada masa sama, Parti Harapan Rakyat Sabah (Harapan Rakyat) diketuai Presidennya, Datuk Lajim Ukin mahu BERSATU mengembangkan sayap ke Sabah walaupun Dr Mahathir ada menyebut parti berkenaan tidak akan ke Sabah.

Sementara itu, Mohd Shafie berkata, beliau dijadualkan menerima kunjungan hormat daripada pemimpin Moro dari selatan Filipina minggu depan, antara lain berbincang mengenai kerjasama untuk menangani beberapa isu berkaitan keselamatan.

“Mereka mungkin akan memberikan saya gambaran mengenai situasi semasa (di selatan Filipina) dan saya minta perkara ini dilihat sebagai pendekatan dalam usaha untuk membentuk kerjasama bagi menangani insiden tidak diingini, terutama di timur Sabah,” katanya. –bharian

Komen