Waris ‘Pak Cik Udin’ diminta hubungi Hospital Kunak

Waris ‘Pak Cik Udin’ diminta hubungi Hospital Kunak

KUNAK, 13 Sept : Hospital Kunak meminta orang ramai yang mengenali keluarga atau waris seorang warga emas yang dipanggil ‘Pak cik Udin’ agar tampil menyalurkan maklumat bagi membolehkan lelaki itu kembali ke pangkuan keluarganya.

Pegawai Perubatan Hospital Kunak Dr Addiemohamad Pariansha Pandalat berkata lelaki berkenaan yang berusia dalam lingkungan 50-an dirawat di hospitai itu sejak lapan bulan lalu.

“Dia dimasukkan ke hospital ini pada 2 Jan lalu dan ditempatkan di wad lelaki bagi proses pemulihan selepas dirawat di Hospital Tawau kerana mengalami keretakan tulang di pergelangan kaki kanan selain gangguan mental yang terkawal dengan memakan ubat,” katanya kepada Bernama, di sini.

Menurutnya pihak hospital gagal mendapatkan maklumat keluarga lelaki itu yang tidak mempunyai sebarang dokumen pengenalan diri.

Bagaimanapun katanya, mereka difahamkan sebelum ini Pak cik Udin sering berada di tapak bekas bangunan Milimewa di sini.

“Sepanjang tempoh lapan bulan di Hospital Kunak, Pak cik Udin tidak pernah bertindak agresif dan sentiasa mendengar arahan, bagaimanapun sokongan keluarga sendiri masih diperlukan dalam proses pemulihan kesihatan,” katanya lagi.

Menurut Dr Addiemohamad, pihak hospital telah merujuk Jabatan Imigresen Lahad Datu pada bulan lepas selain menghantar surat rasmi kepada Jabatan Pendaftaran Negara Kunak minggu lalu bagi mendapatkan pengesahan identiti lelaki itu.

Orang ramai yang mengenali Pak cik Udin atau waris boleh menghubungi pihak hospital di talian 089-894100 sambungan 218.

Bernama

Komen