WARGA ASING MAUT DALAM KEMALANGAN DI KG MEROTAI, TAWAU

WARGA ASING MAUT DALAM KEMALANGAN DI KG MEROTAI, TAWAU

Pegawai perubatan memeriksa keadaan mangsa sebelum mangsa disahkan meninggal dunia di lokasi kejadian.

TAWAU: Seorang maut manakala dua lagi cedera dalam dua kemalangan berasingan masing-masing di Tawau dan Tuaran, di sini pada Isnin.

Di Tawau, seorang warga asing berusia 30an maut apabila kenderaan dinaiki bertembung dengan sebuah motosikal di Jalan Kampung Merotai Besar, Tawau.

Pusat Gerakan Operasi (PGO) Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Sabah menerima panggilan kecemasan mengenai insiden itu pada 12.03 tengahari dan sebuah jentera FRT dan EMRS bersama dengan tujuh anggota termasuk seorang pegawai bomba dikejarkan ke lokasi kejadian.

Menurut komander operasi, kemalangan itu melibatkan sebuah Perodua Kancil yang bertembung dengan sebuah motosikal Yamaha.

Apabila tiba di lokasi kejadian, mangsa yang merupakan pemandu Perodua Kancil didapati cedera parah dan dikeluarkan oleh orang awam sebelum mendapat rawatan awal dari pihak ambulans dan dibantu pasukan EMRS.

Bagaimanapun mangsa, seorang lelaki warga asing disahkan meninggal dunia di lokasi kejadian oleh pegawai perubatan.

Sementara di Tuaran, dua orang cedera apabila tiga kenderaan bertembung di Jalan Kampung Kapa, Tamparuli, Tuaran.

PGO JBPM Sabah menerima panggilan kecemasan pada 11.25 pagi dan sebuah jentera FRT dan EMRS dikejarkan ke lokasi bersama tujuh anggota serta seorang pegawai.

Sebaik tiba di lokasi kejadian, dua pacuan empat roda didapati bertembung dengan sebuah Perodua Myvi yang terbabas ke tepi jalan.

Terdapat dua mangsa cedera dalam Perodua Myvi itu yang dikeluarkan dan dihantar ke hospital oleh orang awam sebelum ketibaan pasukan bomba. – Borneo Today

Komen