WANITA DIGALAK ISI KEKOSONGAN JAWATAN SEBAGAI ANGGOTA BOMBA

WANITA DIGALAK ISI KEKOSONGAN JAWATAN SEBAGAI ANGGOTA BOMBA

Zuraida menandatangani buku pelawat Balai Bomba Tawau. – Gambar SNT/Nasrawati Syarifuddin

TAWAU: Golongan wanita digalakkan mengambil inisiatif mengisi kekosongan jawatan sebagai anggota pasukan bomba dan penyelamat.

Menteri Perumahan dan Kerajaan Tempatan, Zuraida Kamaruddin berkata ini kerana penglibatan wanita dalam pasukan bomba dan penyelamat amat diperlukan khususnya membabitkan pengurusan psikologi mangsa.

Beliau berkata daripada 14,500 anggota bomba di Malaysia, hanya 600 adalah dalam kalangan wanita.

“Saya amat menggalakkan mereka merekrut anggota bomba wanita kerana tugas-tugas tertentu yang memerlukan perempuan. Antaranya tugas-tugas kaunseling, tugas melatih dalam kalangan ibu berhubung bagaimana mencegah kebakaran ketika di rumah dan banyak lagi.

Zuraida (lima dari kiri) menyampaikan sijil penghargaan kepada ahli Komuniti Bomba Tawau. – Gambar SNT/Nasrawati Syarifuddin

“Ini yang kita perlukan anggota wanita untuk kerja-kerja tertentu yang lebih lembut santunannya dan dapat kerjasama dengan mangsa dalam apa juga keadaan seperti trauma, kekecewaan atau sebagainya,” katanya kepada pemberita sempena lawatan kerjanya ke Balai Bomba Tawau di sini hari ini.

Dalam program itu Zuraida turut menyampaikan sijil penghargaan kepada 50 ahli Komuniti Bomba Tawau yang hadir.

Jelas beliau penubuhan bomba komuniti ini dilihat dapat membantu pegawai dan anggota bomba dalam proses menyelamat terutama di kawasan-kawasan jauh yang memerlukan masa lama untuk tiba ke lokasi.

Zuraida (tiga dari kiri) menerima cendera kenangan yang disampaikan Pengarah Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Sabah, Kamarulzaman Malik Abdullah. – Gambar SNT/Nasrawati Syarifuddin

“Sabah kawasan luas dan kawasan pedalaman yang agak jauh jadi sudah tentu dengan adanya pembentukan bomba komuniti ini akan membantu untuk menjadi ahli responder sekiranya ada kemalangan, bencana banjir atau kebakaran.

“Setakat ini Sabah antara yang terbanyak bomba komuniti. Daripada 380 individu, 74 daripadanya adalah bomba komuniti di Tawau,” katanya.

Tambah beliau pihak Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) juga akan mengaktifkan semula skuad bomba diperingkat sekolah dan universiti memandangkan tugasan sebagai ahli bomba semakin diminati dalam kalangan masyarakat. – SabahNewsToday

Komen