VIDEO DIPERCAYAI MANGSA CULIK ABU SAYYAF DISEBAR – TUNTUT TEBUSAN 30 JUTA PESO (RM2.4 JUTA)

VIDEO DIPERCAYAI MANGSA CULIK ABU SAYYAF DISEBAR – TUNTUT TEBUSAN 30 JUTA PESO (RM2.4 JUTA)

LAHAD DATU: Video memaparkan tiga lelaki dipercayai mangsa culik di perairan Tambisan, Lahad Datu merayu bantuan daripada pihak polis Malaysia dan Presiden Republik Indonesia bagi membebaskan mereka daripada tahanan pengganas Abu Sayyaf.

Rakaman video rayuan berdurasi 44 saat itu dimuat naik ke laman sosial Facebook dan mula tular sejak semalam.

Video tiga mangsa yang bekerja sebagai nelayan merayu pertolongan dalam video berdurasi 44 saat tersebut. Gambar SNT/Sumber media sosial

Hasil rakaman video berkenaan menunjukkan tiga mangsa sedang duduk mencangkung tanpa baju, tangan terikat dan seorang daripada mereka bertutur dalam bahasa Melayu merayu supaya dibebaskan.

Mangsa berkenaan turut memohon majikan tempat mereka bekerja membantu membebaskan mereka daripada menjadi tahanan Abu Sayyaf.

“Kami adalah warga Indonesia…kami bekerja di Malaysia…kami kena tangkap kumpulan Abu Sayyaf pada tanggal 24 September 2019.

“Saya harap bos kami membantu kami untuk membebaskan kami dan juga kepada Presiden Republik Indonesia, tolong kami supaya kami bebas dari sini.

“Kumpulan Abu Sayyaf meminta tebusan 30 juta peso (RM2.4 juta) supaya kami dapat kembali ke Indonesia,” kata salah seorang mangsa dalam video itu.

Mangsa terbabit dikenali sebagai Maharudin Lunani, 48, Muhammad Farhan, 27, dan Samiun Maneu, 27.

Mereka dipercayai bekerja sebagai nelayan di negara sebelum diculik sekumpulan tujuh lelaki bersenjata menggunakan bot pam ketika menangkap udang pada September lalu.

Sementara itu, Pesuruhjaya Polis Sabah Datuk Omar Mammah ketika dihubungi hari ini berkata setakat ini pihaknya belum menerima sebarang laporan berhubung video terbabit.

“Bagaimanapun, kami akan siasat perkara terbabit dengan lebih lanjut,” katanya.-SabahNewsToday

Komen