Usahawan Muda Tawau Berani Mencuba – Ma’mun

Usahawan Muda Tawau Berani Mencuba – Ma’mun

TAWAU, 2 Okt – Sikap berani mencuba dan berperanan dalam bidang perniagaan yang ditunjukkan oleh usahawan-usahawan muda di daerah ini mendapat pujian daripada Ahli Parlimen Kalabakan, Ma’mun Sulaiman.

Menurutnya, usahawan-usahawan ini sentiasa rajin berusaha mendapatkan ilmu untuk penambahbaikan dan mengeluarkan produk yang berkualiti demi mengembangkan lagi perniagaan mereka.

Ahli Parlimen Kalabakan, Ma’mun Sulaiman

“Saya amat berbangga kerana banyak produk yang kita gunakan seharian yang jika diteliti sebenarnya di usahakan oleh anak jati daerah ini.

“Ini merupakan perkembangan yang baik kerana mereka berusaha untuk meningkatkan potensi diri, membantu keluarga dan seterusnya mengharumkan nama daerah dengan mengeluarkan produk yang memberi manfaat kepada masyarakat.

“Banyak kursus-kursus yang dianjurkan oleh agensi kerajaan yang boleh mereka sertai bagi memantapkan lagi pengurusan perniagaan mereka bukan sahaja untuk pasaran tempatan tetapi juga ke negara luar,”katanya.

Ma’mun ditemui selepas merasmikan produk baharu Parcha Fiberdrink keluaran Beautyspells Solutions yang diusahakan oleh anak jati Tawau, Norsidayati Mustari di sini baru-baru ini.

Mengulas mengenai makanan tambahan, menurut Ma’mun kesihatan adalah segala-galanya kerana kesihatan yang baik pasti mempengaruhi kualiti kerja seseorang individu.

Ma’mun merasmikan produk baharu Parcha Fiberdrink keluaran Beautyspells Solutions

“Saya menggalakkan masyarakat untuk bersenam dan bersukan di samping pengambilan produk detoksifikasi yang sememangnya membantu meningkatkan taraf kesihatan dengan menyingkirkan kolesterol dan lemak-lemak yang tidak baik di badan.

“Namun begitu, kita juga perlu berhati-hati kerana terdapat golongan pengusaha yang mengambil kesempatan kerana permintaan yang tinggi terhadap produk-produk kesihatan, yang semakin mendapat tempat di kalangan pengguna.

“Ada pengusaha yang mahu mengambil jalan singkat untuk mencari keuntungan tanpa mengambil kira proses pembuatan yang menepati syarat,”ujarnya.

Justeru, beliau menegaskan agar pengusaha bertanggungjawab memastikan produk yang dikeluarkan mendapat kelulusan daripada Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) dan meminta pengguna untuk mengemukakan aduan jika menghadapi masalah dalam pemakaian produk.

Laporan oleh: Fauzrina Bulka/ Foto: Hendry Jimin (Sabah)(Malaysiaaktif) –

Komen

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *