Upah RM6,000; Lelaki Ditahan Bersama 5.3 KG Syabu Di Lapangan Terbang Tawau

Upah RM6,000; Lelaki Ditahan Bersama 5.3 KG Syabu Di Lapangan Terbang Tawau

Zaini (dua dari kiri) menunjukkan rampasan dadah di Tawau. FOTO Khairull Azry Bidin.Fardy Bungga

KOTA KINABALU, 27 Jun- Polis berjaya menahan seorang lelaki sebaik sahaja tiba dari Kuala Lumpur dipercayai keldai dadah untuk membawa masuk 5.3 kilogram syabu sebaik tiba di Lapangan Terbang Tawau pada Isnin lalu.

Suspek berusia 30-an itu mengaku bekerja sebagai keldai dadah dan menerima upah RM6,000 untuk setiap penghantaran bekalan dadah ke daerah tersebut.

Zaini (dua dari kiri) menunjukkan rampasan dadah di Tawau.Foto Bernama

Timbalan Pesuruhjaya Polis Sabah, Datuk Zaini Jass berkata, suspek ditahan oleh sepasukan anggota dan pegawai Jabatan Siasatan Jenayah Narkotik Ibu Pejabat Polis Daerah Tawau sebaik tiba dari Kuala Lumpur pada jam 3.45 petang.

“Hasil pemeriksaan terhadap bagasi yang dibawa oleh suspek mendapati terdapat lima bungkusan plastik bertulis ‘Big Bang Grilled Seaweed’ dan satu lagi bungkusan tertulis ‘Chinese Tea Gift’.

“Apabila bungkusan itu dibuka, terdapat paket lutsinar berisi ketulan hablur dipercayai dadah jenis syabu seberat 5.3 kilogram,” katanya kepada pemberita, di sini, hari ini.

Beliau berkata siasatan awal mendapati suspek memperoleh bekalan dadah berkenaan dari Kuala Lumpur dan polis kini sedang menjalankan risikan lanjut untuk mengesan pembekal berkenaan.

Zaini berkata ujian saringan air kencing terhadap suspek mendapati lelaki itu positif dadah dan kini ditahan reman selama tujuh hari sehingga 1 Julai depan.

Kes tersebut disiasat mengikut Seksyen 39B Akta Dadah Berbahaya 1952, katanya.

Sabahpost.net

Komen