Ukraine isytihar darurat 30 hari

Ukraine isytihar darurat 30 hari

PRESIDEN Petro Poroshenko. – Foto AFP
MOSCOW: Ukraine semalam menguatkuasakan undang-undang darurat selama 30 hari di wilayahnya yang paling terdedah kepada pencerobohan Russia selepas Presiden Petro Poroshenko memberi amaran kemungkinan berlaku ancaman serius ke atas negara itu.

Poroshenko berkata undang-undang darurat perlu dilaksanakan bagi memperkukuh pertahanan Ukraine selepas Russia merampas tiga kapal tentera laut negara itu dan menahan anak kapalnya dalam satu insiden di Laut Azov Ahad lalu.

Presiden Amerika Syarikat (AS) Donald Trump turut menyuarakan kebimbangan susulan pergeseran di antara Russia dan Ukraine dan sedang mengusahakan jalan penyelesaian dengan pemimpin Kesatuan Eropah (EU).

Setiausaha Negara AS, Mike Pompeo yang menyifatkan tindakan Russia itu sebagai provokasi berbahaya dan pelanggaran undang-undang antarabangsa, menyeru kedua-dua negara untuk bertenang.

“Amerika Syarikat mengecam tindakan agresif Russia ini. Kami menyeru Russia untuk mengembalikan kapal-kapal dan anak kapal Ukraine serta menghormati kedaulatan dan integriti wilayah Ukraine,” kata Pompeo dalam satu kenyataan.

Krisis meletus Ahad lalu apabila kapal peronda sempadan milik perkhidmatan keselamatan FSB Russia merampas dua kapal perang perisai berskala kecil Ukraine dan sebuah bot tunda selepas melepas tembakan sehingga mencederakan tiga anak kapal.

Kapal Ukraine itu dipercayai cuba memasuki Laut Azov dari Laut Hitam melalui Selat Kerch yang memisahkan Crimea dari tanah besar Russia.

Susulan insiden itu 24 anak kapal Ukraine ditahan, tiga daripadanya cedera tetapi dalam keadaan stabil di hospital.

FSB mendakwa kapal Ukraine terbabit tidak mengendahkan tembakan amaran, memaksa Russia melepaskan tembakan sebenar, selepas menceroboh perairan Russia. – Reuters

Komen