TYT Sabah akan rasmi FKAT 23 Mac ini di Tawau

TYT Sabah akan rasmi FKAT 23 Mac ini di Tawau

Tuan Yang Terutama (TYT) Negeri Sabah, Tun Juhar Mahiruddin

TAWAU, 20 Mac – Tuan Yang Terutama (TYT) Negeri Sabah, Tun Juhar Mahiruddin akan merasmikan Festival Kebudayaan Antarabangsa Tawau (FKAT) pada 23 Mac ini di perkarangan Majlis Perbandaran Tawau (MPT).

Penganjuran festival yang memasuki edisi kelapan itu bertujuan mengangkat seni dan budaya warisan Sabah ke peringkat dunia.

Presiden Majlis Perbandaran Tawau (MPT), Alijus Sipil berkata FKAT akan menampilkan program-program kesenian dan kebudayaan manyarakat daripada 29 etnik di Sabah selain penyertaan negara Indonesia dan Thailand.

“Lebih 50,000 orang disasarkan mengunjungi festival tersebut yang berlangsung selama lima hari bermula semalam,” katanya ketika ditemui pemberita selepas melancarkan pemasangan Lightbox MPT di sini, hari ini.

Konsep festival itu dibahagikan kepada tiga segmen utama yang merangkumi persembahan tarian tradisional etnik pesisir, etnik pedalaman dan antarabangsa.

Sementara itu, Alijus berkata 30 unit Lightbox (Iklan elektronik) di pasang di kawasan bandar bagi menyerikan lagi suasana malam di bandar sempena FKAT pada tahun ini.

“Selepas FKAT, Lightbox ini akan digunakan untuk mengiklankan Tahun Melawat Tawau 2019,” katanya lagi.

Menurut Alijus, agensi atau syarikat yang berminat untuk mengiklankan sesuatu acara boleh memanfaatkan Lightbox tersebut yang dikendalikan MPT dengan kerjasama syarikat Top Green Tech Sdn Bhd.

— BERNAMA

Komen