TUJUH PELAJAR TERBABIT KES ROGOL AKAN MENDUDUKI PEPERIKSAAN SPM DI LOKAP

TUJUH PELAJAR TERBABIT KES ROGOL AKAN MENDUDUKI PEPERIKSAAN SPM DI LOKAP

TAWAU: Tujuh pelajar tingkatan lima yang ditahan reman semalam disyaki terbabit kes rogol seorang pelajar tingkatan dua akan menduduki peperiksaan Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) di lokap, pada Isnin nanti.

Pengarah Pendidikan Sabah, Mistirine Radin berkata pihaknya akan ke Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Tawau bagi mendapatkan maklumat lanjut berhubung kesemua suspek.

Mistirine Radin. – Gambar Fail SNT

“Saya telah arah pegawai peperiksaan ke IPD Tawau pada esok berikutan kami juga baharu menerima maklumat berhubung kejadian ini.

“Isnin nanti, semua suspek akan menduduki peperisaan SPM seperti biasa namun ia dijalankan di dalam lokap,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Beliau turut menyuarakan rasa sedih dengan kejadian itu kerana ia berlaku di dalam kawasan sekolah dan berharap kes itu tidak berlaku lagi.

“Saya berharap pengawal keselamatan sekolah melaksanakan rondaan dalam kawasan sekolah seperti dalam kontrak untuk mengelak kejadian seperti ini (kes rogol) berulang.

“Pihak sekolah juga boleh meningkatkan pencegahan dengan mengunci bilik-bilik yang berisiko disalahgunakan oleh pelajar,” jelasnya.

Kira-kira pukul 11 pagi semalam, seorang guru menemukan mangsa berusia 14 tahun dalam keadaan separuh bogel di sebuah bilik suis, di sekolah berkenaan.

Menurut sumber, mangsa memberitahu dua pelajar merogolnya manakala empat lagi suspek meminta mangsa melakukan seks oral.

Seorang lagi mangsa hanya berada di bilik berkenaan dan hanya melihat rakannya melakukan perbuatan itu terhadap mangsa.

Ekoran kejadian itu, ibu mangsa kemudian membuat laporan polis dan semua suspek ditahan. – SabahNewsToday

Komen