TUJUH DITAHAN LANGGAR SYARAT LESEN, 1,100 KG IKAN DIRAMPAS

TUJUH DITAHAN LANGGAR SYARAT LESEN, 1,100 KG IKAN DIRAMPAS

LAHAD DATU: Tujuh individu termasuk seorang juragan yang sedang leka menangkap ikan ditahan selepas melanggar syarat-syarat lesen iaitu menangkap ikan di kawasan kurang tiga batu nautika dari persisiran pantai Tungku, dekat sini, tadi.

Komander Pasukan Polis Marin (PPM) Wilayah Empat Sabah, Asisten Komisioner Mohamad Pajeri Ali berkata menerusi Operasi Gelora yang dijalankan pukul 9.30 pagi, pihaknya turut merampas 1,100 kilogram (kg) ikan pelbagai jenis bernilai RM5,500 di dalam kapal jenis pukat tunda yang dinaiki suspek.

Tujuh lelaki termasuk seorang juragan ditahan selepas melanggar syarat-syarat lesen iaitu menjalankan aktiviti menangkap ikan di kawasan perairan kurang tiga batu nautika dari persisir pantai. Gambar SNT / Ihsan PPM Lahad Datu

berkata pihaknya menahan semua suspek berusia 40 hingga 43 tahun itu ketika sedang leka menangkap ikan di kawasan kurang tiga batu nautika dari persisiran pantai.

“Kita kemudian menjalankan pemeriksaan dan mendapati seorang juragan warganegara Indonesia dan enam awak-awak tempatan berusia dalam lingkungan 40 hingga 43 berada di dalam kapal itu.

“Pemeriksaan lanjut turut menemukan 1,100kg ikan pelbagai jenis di dalam kapal berkenaan,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Kapal pukat tunda diiring ke Pos Merabung Lahad Datu sebelum diserahkan kepada Jabatan Perikanan Sabah untuk siasatan lanjut. Gambar SNT / Ihsan PPM Lahad Datu

Tegas beliau pihaknya tidak akan berkompromi terhadap kesalahan-kesalahan yang dilakukan individu yang tidak bertanggungjawab yang hanya mahu mengambil keuntungan tanpa berfikir impak negatif terhadap perbuatan mereka.

“Aktiviti menangkap ikan menggunakan kapal nelayan jenis pukat tunda berhampiran dengan persisiran pantai adalah sangat berbahaya kepada nelayan-nelayan kecil dan juga terhadap ekosistem ikan serta batu karang,” jelasnya.

Suspek dan barang rampasan termasuk bot dibawa ke Pos Merabung Lahad Datu sebelum diserahkan kepada Jabatan Perikanan untuk tindakan lanjut.

Kes disiasat dibawah Seksyen 8(b) Akta Perikanan 1985 kerana melanggar syarat-syarat lesen. –SabahNewsToday

Komen