TROPICAL RAINFOREST RUN 2019 TARIK PENYERTAAN 231 PESERTA

TROPICAL RAINFOREST RUN 2019 TARIK PENYERTAAN 231 PESERTA

Para pemenang larian Tropical Rainforest Run 2019 yang diadakan di Taman Bukit Tawau. – Gambar SNT/Ihsan STB

TAWAU: Seramai 231 individu menyertai pertandingan Tropical Rainforest Run 2019 yang diadakan di Taman Bukit Tawau anjuran Lembaga Pelancongan Sabah (STB) dengan kerjasama Taman-Taman Sabah.

Pertandingan yang julung kali diadakan itu turut mendapat penyertaan dari luar negara iaitu enam peserta Kenya dan sembilan mewakili Indonesia.

Peserta perlu berlari sejauh 21 kilometer (km) merentasi hutan Taman Bukit Tawau dan melalui satu kawasan  pokok Meranti Kuning iaitu pokok tropika tertinggi di dunia.

Acara pelepasan larian itu disempurnakan Pembantu Menteri Pelancongan, Kebudayaan dan Alam Sekitar, Assafal P Alian mengikut kategori Terbuka Lelaki dan Wanita, Lelaki Veteran 40 tahun ke atas dan Wanita Veteran 35 tahun ke atas.

Meranti Kuning iaitu pokok tropika tertinggi di dunia menjadi tarikan dalam acara di Tropical Rainforest Run 2019 yang diadakan di Taman Bukit Tawau. – Gambar SNT/Ihsan STB

Juara acara larian Terbuka Lelaki dan Veteran Lelaki dirangkul oleh peserta Kenya dengan catatan masa yang sama satu jam 57 minit dan 18 saat.

Johan terbuka lelaki, John Kipkorir Rutto ketika ditemui berkata ini adalah pengalaman kedua menyertai pertandingan larian di Sabah selepas kali terakhir menyertai acara Larian Antarabangsa Gunung Kinabalu (MKIC) pada 2017 di Kota Kinabalu.

“Saya rasa semuanya berjalan dengan lancar namun mencabar ketika menuruni bukit kerana kondisi kaki saya yang tidak berapa baik apabila menuruni bukit.

“Saya mengambil masa latihan selama seminggu sebelum menyertai pertandingan ini dengan berlari di kawasan kebun kelapa sawit. Akhirnya saya berpuas hati dengan catatan rekod saya sesuai dengan cabaran yang saya tempuhi hari ini,” katanya.

Sulistijo (kiri) dan Assafal (tiga dari kiri) bergambar kenangan bersama johan Tropical Rainforest Run 2019 (dua dari kiri dan empat dari kiri) kategori terbuka lelaki dan veteran lelaki. – Gambar SNT/Nasrawati Syarifuddin

Bagi johan Veteran Lelaki, Bernard Kiplangat Kibilo pula ia adalah pengalaman pertamanya menyertai pertandingan merentasi kawasan hutan dan berlumpur yang boleh dikatakan begitu mencabar bagi dirinya.

“Selepas ini saya akan lebih banyak menjalankan latihan terutama di kawasan yang berair kerana ketika saya merentasi kawasan berkenaan, ia begitu mencabar pada saya dan ini pertama kali saya mengikuti larian di kawasan seumpama itu.

“Jarak 10km naik sangat susah bagi saya tapi semasa menuruni bukit sangat mudah. Saya berterima kasih kepada pihak penganjur dan rakyat Malaysia kerana memberi peluang kepada saya dan rakan-rakan menyertai larian ini,” jelasnya.

Johan larian Wanita Vetereran dari Malaysia, Jassica Lintanga yang mencatat rekod 2;51.46s itu berasa seronok menikmati pengalaman baharunya merentasi hutan Taman Bukit Tawau.

Peserta negara yang memenangi kategori Veteran Wanita, Jassica Lintang. – Gambar SNT/Nasrawati Syarifuddin

“Bagi saya larian pada kali ini tidak terlalu susah dan tidak juga senang tapi saya seronok ketika melakukan larian hingga garisan penamat. Tiap minggu juga saya latihan berlari dan kerja saya hanya berlari (pelari sepenuh masa).

“Saya berharap pertandingan ini dapat dijadikan acara tahunan di Sabah dan saya lebih berminat berlari ke hutan berbanding mengikuti larian yang biasa dianjurkan,” katanya

Johan bagi setiap kategori membawa pulang wang tunai RM2,000 serta pingat manakala tempat kedua dan ketiga masing-masing membawa pulang wang tunai RM1,000 dan pingat. – SabahNewsToday

Komen