TINDAKAN TEGAS TERHADAP PEMBORONG, PENIAGA SOROK BARANG KAWALAN SEMPENA MUSIM PERAYAAN – KPDNHEP

TINDAKAN TEGAS TERHADAP PEMBORONG, PENIAGA SOROK BARANG KAWALAN SEMPENA MUSIM PERAYAAN – KPDNHEP

TAWAU; 14 MEI 2019 (Selasa) – Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna (KPDNHEP) akan mengambil tindakan tegas terhadap pemborong dan peniaga di negeri ini yang sengaja menyorokkan stok bekalan barang kawalan semasa musim perayaan.

Timbalan Pengarah Penguatkuasa (Cawangan Operasi Khas) KPDNHEP Putrajaya, Rosli Ahmad berkata, barangan kawalan itu melibatkan bekalan seperti gula, minyak dan tepung (GMT) berikutan keperluannya semakin meningkat menjelang Pesta Kaamatan dan Hari Raya Aidilfitri tahun ini.

Katanya, pihak KPDNHEP giat melaksanakan pemantauan secara berterusan bagi memastikan tiada pihak tidak bertanggungjawab menyorok barang kawalan selain memastikan barangan itu diperolehi oleh orang awam dengan harga berpatutan.

Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas melakukan pemeriksaan di sebuah gudang pemborong Barang di Taman Anson Jalan Kuhara di Tawau.

Katanya, jika ada peniaga yang didapati sengaja sembunyikan barangan kawalan terbabit, peniaga boleh dikenakan tindakan di bawah Seksyen 15 Akta Kawalan bekalan 1961 dan jika disabitkan kesalahan, boleh dikenakan denda sehingga 100-ribu ringgit dan penjara tidak lebih tiga tahun.

Dalam pada itu, Rosli menegaskan bahawa bekalan GMT di negeri ini termasuk Tawau mencukupi sepanjang Pesta Kaamatan dan Hari Raya Aidilfitri.

Di Tawau, melalui pemeriksaan yang dijalankan terhadap 18 syarikat pemborong utama GMT, KPDNHEPnya merekodkan bekalan semasa yang dipasarkan kepada peruncit sekitar daerah ini bagi tempoh 1 Mei hingga semalam ialah lebih 1-ribu 800-metrik tan gula, lebih 207-metrik tan tepung gandum dan lebih 142-metrik tan minyak masak.

Difahamkan, 14 peruncit terpilih telah di lantik KPDNHEP Tawau bagi memudahkan pengguna mendapat keperluan tersebut selain di pasaraya sekitar Tawau khususnya pada musim perayaan antaranya city Fresh Mart, InStar dan Bentol Mini Market.

Pemeriksaan Barang Kawalan di gudang itu turut disertai Ketua Seksyen Kawalan Bekalan KPDNHEP Putrajaya, Azman Adam, Ketua Pegawai Penguatkuasa Sabah, Ravichandran A/L Vadivellu dan Ketua Cawangan KPDNHEP Tawau, Aslani Dabi.

#BESTAWAUfm

Komen