TINDAKAN PANTAS LELAKI GAGALKAN CUBAAN CURI DI RUMAH IBU SAUDARA

TINDAKAN PANTAS LELAKI GAGALKAN CUBAAN CURI DI RUMAH IBU SAUDARA

TAWAU; 11 MEI 2019 (Sabtu) – Tindakan pantas seorang lelaki menyedari sesuatu yang mencurigakan berlaku di rumah ibu saudaranya membawa kepada penahanan seorang penjenayah di Lorong Prima, Kampung Ranggu, kira-kira pukul 12.30 tengah malam semalam.

Rudymirnawan Asri, 22 Tahun, yang dihubungi RTM berkata, beliau yang curiga selepas mendengar salakan anjing dari rumah ibu saudaranya itu bertindak melakukan pemeriksaan di rumah berkenaan sebelum menahan penjenayah terbabit.

Katanya, sebaik tiba, beliau mendapati sebahagian barangan di ruang tamu berselerak sebelum menemui seorang lelaki yang tidak dikenali sedang mengeledah barang di dalam bilik rumah berkenaan.

Menurut Rudymirnawan, beliau sempat bergelut dengan lelaki terbabit selepas cuba bertindak melarikan diri sebelum berjaya menahannya dengan bantuan bapanya yang datang kemudian.

Selepas berjaya diberkas, beliau segera menghubungi ibu saudaranya bagi memaklumkan kejadian itu dan membuat laporan polis.

Difahamkan, semasa kejadian, tiada sesiapa di rumah berkenaan sementara ibu saudaranya menetap di sebuah rumah di Jalan Damai.

Sementara itu, Pemangku Ketua Polis Daerah Tawau Supritendan Nor Azizulkifli yang mengesahkan kejadian dalam kenyataan berkata, seorang lelaki Warga Indonesia berumur 23 tahun itu kini ditahan bagi siasatan
mengikut Seksyen 380 Kanun Keseksaan (Curi Dalam Bangunan).

Beliau berkata, siasatan awal mendapati suspek masuk ke rumah terbabit dengan cara memanjat melalui bumbung di bahagian dapur.

Bagaimanapun katanya, pemeriksaan di dalam rumah tersebut mendapati tiada barang yang dilaporkan hilang. -BESTAWAUfm

Komen