Tiga penyelam termasuk dua pelancong China maut

Tiga penyelam termasuk dua pelancong China maut

Tiga termasuk dua pelancong China maut ketika aktiviti menyelam dalam kejadian di Pulau Kulapuan, Semporna, hari ini. – Foto ihsan pembaca

KOTA KINABALU: Tiga termasuk dua pelancong China maut ketika aktiviti menyelam dalam kejadian di Pulau Kulapuan, Semporna, hari ini.

Difahamkan, dalam kejadian kira-kira jam 3 petang itu, seorang mangsa yang maut adalah penyelam bertauliah yang dikenali sebagai Zainal Abdun, 31, manakala dua lagi pelancong terbabit masih belum dapat dikenal pasti.

Ahli keluarga mangsa yang hanya mahu dikenali sebagai Ray berkata, dia mengetahui insiden malang berkenaan selepas dihubungi rakan-rakan penyelam.

Katanya, kali terakhir dia bercakap dengan anak saudaranya itu pada jam 2.15 petang apabila dia menghubunginya untuk bertanya mengenai kunci kereta yang dibawa Zainal.

“Saya sangat terkejut apabila diberitahu mengenai kejadian berkenaan. Saya tahu sebelum itu dia sedang membawa dua penyelam warga China.

“Saya tidak tahu punya insiden ini tetapi ada rakan-rakan yang mendakwa mereka terkena bom ikan,” katanya ketika dihubungi, hari ini.

Dua dari tiga termasuk dua pelancong China maut ketika aktiviti menyelam dalam kejadian di Pulau Kulapuan, Semporna, hari ini. – Foto ihsan Pembaca

Ray berkata, dia diberitahu mereka terpaksa mencari lebih sejam sebelum dapat menemui ketiga-tiga mangsa kira-kira lima meter di dasar laut.

“Saya sempat melihat badan mereka. Tiada kecederaan serius cuma terdapat darah keluar daripada telinga dan mulut,” katanya.

Sementara itu, Pesuruhjaya Polis Sabah Datuk Omar Mammah ketika dihubungi mengesahkan kejadian maut membabitkan dua pelancong China dan seorang penyelam yang dipercayai pemegang kad IMM13 berkenaan.

Katanya, pengendali bot yang membawa mangsa sudah membuat laporan polis dan kita sedang mengambil keterangannya.

“Setakat ini, kita masih belum dapat mengesahkan kejadian sebenar dan punca kematian mangsa.

“Bagaimanapun, polis masih menjalankan siasatan dan orang ramai diminta tidak membuat sebarang spekulasi sehingga siasatan selesai,” katanya. -bharian

Komen