Tiga cedera dipanah petir ketika main futsal

Tiga cedera dipanah petir ketika main futsal

Salah seorang mangsa diberi rawatan awal oleh penganjur kejohanan dan orang awam selepas dipanah petir ketika bermain futsal petang tadi.

KUALA LUMPUR – Tiga peserta Liga Sukan Untuk Semua (LiSUS) dipanah petir ketika bermain futsal kategori lelaki sempena Sambutan Hari Sukan Negara di padang Majlis Sukan Negara (MSN) di Bukit Jalil di sini hari ini.

Dalam kejadian pukul 4.30 petang itu, mangsa dikatakan sedang berentap di padang sebelum petir menyambar di kawasan tengah padang berkenaan.

Kosmo! difahamkan, mangsa yang terlibat merupakan pemain dari Sabah dan Labuan.

Sementara itu, Kementerian Belia dan Sukan (KBS) dalam satu kenyataan mengesahkan kejadian tersebut.

“Seperti yang tular di beberapa laman sosial, KBS dengan ini mengesahkan tiga orang peserta futsal LiSUS Peringkat Kebangsaan telah dipanah petir padang MSN, Bukit Jalil.

“Ketiga-tiga mangsa telah dikejarkan ke Pusat Perubatan Universiti Kebangsaan Malaysia (PPUKM) dan sedang menerima rawatan kecemasan,” katanya dalam kenyataan itu sebentar tadi. –

K! ONLINE MALINDA ABDUL MALIK

13 Oktober 2018 7:50 PM.

__________

KENYATAAN MEDIA KBS

Berhubung Insiden Peserta Liga Sukan Untuk Semua (LiSUS) Yang Dipanah Petir

Pihak KBS ingin memaklumkan yang ketiga-tiga orang peserta futsal LiSUS peringkat kebangsaan yang dipanah petir petang tadi berada di dalam keadaan stabil.

Dua (2) orang mangsa iaitu Abd Wahid bin Habib Abdullah dari Sabah dan Nurrizati binti Kamsani dari Terengganu telah sedarkan diri dan berada di bawah pemerhatian pegawai perubatan. Manakala seorang lagi (1) iaitu Faizal bin Alli juga dari Sabah pula telah dimasukkan ke Unit Rawatan Rapi (ICU) bagi rawatan dan pemerhatian lanjutan.

Situasi dan perkembangan ketiga-tiga mangsa akan terus dipantau dan tindakan selanjutnya bersama pihak keluarga juga telah diambil.

Sekian, terima kasih.

Unit Komunikasi Korporat
Kementerian Belia dan Sukan
13 Oktober 2018 / 2210 hrs

Komen

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *