Tiada lagi kandungan lucah di Tumblr bermula 17 Disember ini

Tiada lagi kandungan lucah di Tumblr bermula 17 Disember ini

Dasar baharu itu diumumkan pihak Tumblr selepas aplikasinya di iOS telah ditarik semula kerana dilaporkan terbabit dengan kes pornografi kanak-kanak.

BERMULA 17 Disember ini, platform media sosial yang dikenali sebagai Tumblr akan menghentikan penyebaran kandungan orang dewasa atau kandungan lucah.

Dasar baharu itu diumumkan pihak Tumblr selepas aplikasinya di iOS telah ditarik semula kerana dilaporkan terbabit dengan kes pornografi kanak-kanak.

Ini merupakan perubahan yang amat dramatik selepas platform ini dikatakan telah menggalakkan penghasilan kandungan yang pelbagai termasuklah kandungan pornografi.

Jadi, bermula 17 Disember ini, semua kandungan berkaitan bahan lucah di Tumblr akan dikeluarkan.

Malah bagi laman yang sememangnya mengandungi bahan lucah semata-mata, ia samada akan diberikan notis amaran atau akan diubah tetapannya menjadi private mode.

Pada masa sama, pihak Tumblr juga mendefinisikan semula kandungan berkaitan orang dewasa termasuklah foto, video, GIF yang menunjukkan ilustrasi aktiviti seksual.

Melalui dasar baru, kandungan erotik dan foto bogel yang mempunyai nilai berita serta terkait dengan hasil seni sahaja diterima untuk platform berkenaan.

Keterbukaan Tumblr untuk kandungan seperti ini telah menarik minat ramai pengguna dari pelbagai generasi termasuk di Asia untuk berkongsi banyak kandungan untuk keperluan orang dewasa.

Perubahan ini juga dilihat amat signifikan dengan pengambilalihan Yahoo oleh Verizon dalam usaha mengintegrasikan dasar pengguna yang hampir sama.

Tumblr bulan lepas telah menjadi perhatian portal berita teknologi seluruh dunia selepas ditarik semula dari apple Apps Store selepas disiasat atas dakwaan terbabit dengan pornografi kanak-kanak. –astroawani

Komen