TERKINI: Azmin kuasai saingan di Tawau

TERKINI: Azmin kuasai saingan di Tawau

MOHAMED Azmin Ali – Foto NADIM BOKHARI

TAWAU: Datuk Seri Mohamed Azmin Ali sekali lagi mengatasi pencabarnya, Rafizi Ramli bagi saingan jawatan Timbalan Presiden PKR dalam pemilihan semula cabang Tawau yang keputusannya ditangguhkan kira-kira dua jam tadi.

Berdasarkan keputusan dikeluarkan sebentar tadi Azmin memperolehi 2,357 undi manakala Rafizi hanya meraih 1,540 undi.

Keputusan pemilihan kali kedua itu juga menyaksikan peningkatan jumlah undi kedua-dua calon itu, dengan Azmin memperolehi 964 tambahan undi, manakala Rafizi 692 undi.

Pada pengundian 3 November lalu, Azmin memperolehi 1,393 undi, manakala Rafizi 848 undi, namun keputusan itu dibatalkan selepas berlaku bantahan hingga memaksa Jawatankuasa Pemilihan Parti (JPP) mengadakan pemilihan semula hari ini.

Keputusan itu sekali gus menyaksikan Azmin kekal menguasai kemenangan bagi saingan jawatan Timbalan Presiden di 15 cabang seluruh Sabah berbanding 10 cabang dimenangi Rafizi.

Sementara itu, bagi pemilihan Ketua Cabang Tawau, keputusan pengundian membabitkan tiga penjuru mengekalkan kemenangan Datuk Kong Hong Ming (2,602 undi), menewaskan Fung Thin Yien (1,638 undi) dan Tommy Thomas (138 undi).

Keputusan pemilihan untuk jawatan Timbalan Ketua Cabang juga tidak berubah selepas Abdul Ghani Zelika memperolehi 2,473 undi menewaskan dua lagi pencabar Obit Rodding (1,159 undi) dan Samsuri Baharudin (517 undi). -beritaHarian

Oleh Abdul Rahemang Taiming
cnews@nstp.com.my

Komen