Terjun bot tinggal rokok

Terjun bot tinggal rokok

SEBANYAK 77 karton rokok pelbagai jenama ditinggalkan dalam bot di perairan Kampung Air Puyut, Lahad Datu. FOTO Ihsan APMM

AGENSI Penguatkuasaan Maritim Malaysia (APMM) merampas 77 karton rokok dipercayai cuba diseludup ke daerah ini di perairan Kampung Air Puyut, di sini, hari ini.

Kejadian kira-kira jam 7 pagi itu, pihak berkuasa turut merampas sebuah bot bersama enjin digunakan suspek untuk membawa rokok berkenaan.

Pengarah APMM Zon Maritim Lahad Datu, Komander Maritim Abdul Muhaimin Mohamad Salleh berkata, bot peronda APMM yang sedang menjalankan tugas rondaan di lokasi berkenaan mengesan sebuah bot menggunakan enjin sangkut dalam keadaan mencurigakan.

“Menyedari kehadiran APMM, tekong bot memecut menuju ke arah daratan dan terus melarikan diri.

“Hasil pemeriksaan terhadap bot berkenaan menemui beberapa bungkusan plastik mengandungi 77 karton rokok pelbagai jenama,” katanya dalam satu kenyataan media.

Abdul Muhaimin berkata, siasatan mendapati rokok dari negara jiran itu cuba diseludup dan dijual di sekitar daerah ini.

“Barang rampasan termasuk bot dibawa ke Jeti Perikanan Lahad Datu untuk tindakan lanjut.

“Nilai rampasan termasuk bot dan enjin berjumlah RM13,440,” katanya.

Katanya, kes disiasat mengikut Akta Kastam 1967 dan Akta Jabatan Pelabuhan Dermaga Sabah 2002. –hmetro

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 21 Februari 2019 @ 5:18 PM

Komen