Terima kasih MPT!

Terima kasih MPT!

SUASANA di Tamu Takada, hari ini. FOTO Abdul Rahemang Taiming

PENIAGA Tamu Takada di Tawau, lega apabila kembali meneruskan operasi di pasar mingguan itu seperti biasa.

Ia susulan Majlis Perbandaran Tawau (MPT) membenarkan peniaga meneruskan operasi selepas bantahan aman dibuat pada 24 Februari lalu.

Tinjauan mendapati kebanyakan gerai perniagaan memulakan operasi seawal jam 4 pagi bagi membuat persiapan awal termasuk menyusun barang jualan.

Penjual pakaian terpakai, Awang Mohd Hamka, 27, berkata dia gembira dan berterima kasih kepada Presiden MPT, Alijus Sipil kerana memberi peluang kepada hampir 600 peniaga meneruskan operasi seperti biasa di pasar itu, hari ini.

“Kami juga amat berharap, apabila MPT sendiri yang mengambil alih pengurusan dan hal ehwal Tamu Takada, segala perkara berkaitan serta urusan di sini akan menjadi lebih mudah, sistematik dan teratur,” katanya.

Bagi peniaga ikan bilis dari Kampung Inderasabah, Samsul Kinas, 57, berkata, majoriti peniaga menyatakan rasa syukur dan gembira kerana tidak perlu berpindah ke lokasi baharu.

“Kami amat mengalu-alukan keputusan pihak berkuasa tempatan yang prihatin dengan masalah serta isu yang kami suarakan,” katanya.

Baru-baru ini, Alijus melalui satu sidang media khas membenarkan peniaga meneruskan operasi secara sementara di pasar terbabit.

Beliau dilaporkan berkata, keputusan itu dibuat bagi membolehkan pihaknya mengambil tindakan lanjut selepas kontrak syarikat konsesi yang diberi tanggungjawab menguruskan tamu berkenaan tamat 3 Mac iaitu hari ini.

Selain itu, cadangan untuk memindahkan Tamu Takada ke lokasi baharu di Sabindo Street masih dalam peringkat perbincangan dan belum dimuktamadkan.

Tinjauan hari ini juga mendapati kakitangan Bahagian Harta Benda MPT turun padang menjalankan pemeriksaan bagi memastikan hanya peniaga berdaftar sahaja dibenarkan meneruskan operasi. –hmetro

Komen