Terima 9 Anugerah Dekan, Adiey tak sangka Unisel ‘terbang’kan khas ibunya dan tanggung semua untuk hadiri konvokesyen

Terima 9 Anugerah Dekan, Adiey tak sangka Unisel ‘terbang’kan khas ibunya dan tanggung semua untuk hadiri konvokesyen

Jauh perjalanan, luas pemandangan’, merupakan kata pepatah yang sangat bermakna bagi pelajar yang pernah merantau jauh dari rumah dan keluarga. Walaupun sukar, belajar sambil merantau mempunyai banyak kelebihannya.

Bagi Norazly Nordin, yang lebih mesra dengan panggilan Adiey, walaupun berjauhan dengan keluarga, dia telah berjaya membuktikan walaupun berjauhan dari rumah, dia boleh berjaya dan dianugerahkan dengan pelbagai anugerah.

Dilahirkan di Tawau, Sabah pada tahun 1993, dia telah menyambung pelajarannya di Unisel Bestari Jaya pada tahun 2011 dalam jurusan Diploma Pendidikan (Pengajian Prasekolah). Dia telah berjaya menamatkan diplomanya dengan Purata Nilai Gred Kumulatif (PNGK) 3.61 membolehkannya mendapat Anugerah Pelajar Terbaik Program pada Istiadat Konvokesyen Unisel Ke-9, tahun 2014.

“Saya telah memilih Unisel kerana Unisel menawarkan jurusan prasekolah. UPSI juga merupakan pilihan saya tapi tak lepas sebab keputusan SPM saya kurang cemerlang,” ujarnya.

Selepas itu, pada tahun 2014, Adiey telah menyambung pelajarannya ke peringkat Ijazah Sarjana Muda dalam kursus Sarjana Muda Pendidikan (Kepujian) Pendidikan Awal Kanak-Kanak, juga di Unisel dan tamat pengajian dengan 3.93 PNGK.

MINAT BERMULA

Minatnya terhadap pendidikan prasekolah bermula semasa dia menjadi jurulatih silat di sebuah Tabika Kemas tempat dia pernah belajar dahulu.

“Semasa menjadi coach silat kat situ, timbul minat saya untuk belajar tentang kanak-kanak. Lagipun saya memang minat untuk mengajar,” katanya.

“Pada mulanya, keluarga saya tak sokong hasrat saya untuk menyambung pelajaran kerana beberapa sebab. Antaranya tak cukup duit untuk belajar. Tapi, makcik saya telah banyak menyokong dan membantu saya semasa saya belajar diploma.

“Arwah ayah juga memang nak tengok saya jadi cikgu. Jadi, bila dapat tawaran kursus pendidikan, arwah benarkan saya untuk menyambung pelajaran,” tambahnya lagi.

Seperti yang kita tahu, sebagai pelajar sememangnya terdapat banyak cabaran dan kesukaran, lebih-lebih lagi buat pelajar yang merantau seperti Adiey.

“Cabaran yang dihadapi, pertama kewangan. Kedua adalah masa, sebab saya aktif dalam aktiviti-aktiviti seperti sukarelawan, aktiviti komuniti, sukan dan kelab persatuan.

“Yang ketiga, kawan lelaki sangat sikit, dua orang sahaja dalam kelas sebab kursus Pendidikan Awal Kanak-Kanak (PAKK) ni terlampau ramai perempuan. Bilangan pelajar lelaki terlampau sedikit hingga dalam satu batch ada 100 orang pelajar dan dalam batch tersebut hanya ada 4 orang pelajar lelaki.

“Cabaran yang lain ialah buku rujukan. Buku rujukan PAKK di Malaysia masih kurang dan banyak yang daripada luar negara menyebabkan kosnya agak mahal,” katanya.

“SAYA NI MACAM LECTURER NOMBOR DUA DAH”

Ketika ditanya bagaimana dia bergaul dengan rakan sekelas, dia menjawab, walaupun ramai pelajar perempuan, pergaulan dengan mereka sangat baik dan jika ada kerja berkumpulan, dia akan join kumpulan perempuan.

“Saya tidak pernah rasa tersisih di dalam kelas. Dalam kelas, saya ni macam lecturer nombor dua dah sebab mereka akan rujuk saya.

Ketika ditanya tentang tekniknya belajar, dia yang pernah menerima 9 kali Anugerah dekan berkata, “kena selalu buat revision ringkas supaya tak lupa. Keduanya jangan berkira untuk beli buku.

“Saya juga selalu mintak nasihat daripada pensyarah mengenai buku apa yang sesuai untuk satu kursus. Dan jaga hubungan dengan ALLAH, keluarga, guru dan semua orang.

“Lagi satu, kena tengok waktu belajar yang sesuai, biasanya sebelum tidur atau awal pagi,” pesannya lagi.

IBU BUAT KEJUTAN!

Pada tahun 2017, semasa Istiadat Konvokesyen Unisel kali ke-12, dia telah dikejutkan dengan kedatangan ibunya yang telah dibawa oleh Unisel untuk menghadiri majlis tersebut.

“Mulanya saya nak bawa semua family datang, tapi disebabkan adik bongsu masa tu STPM, mak tak boleh datang. Difahamkan hanya abang dengan kakak ipar sahaja yang datang.

“Tapi saya terkejut bila tengok mak datang dan Unisel tanggung semuanya. Mula-mula rasa sedih juga sebab arwah bapa dengan mak tak dapat bersama datang, tapi saya terharu dan bangga bila Unisel terbangkan mak khas dari Tawau,” katanya.

Pada Istiadat Konvokesyen tersebut, dia telah dianugerahkan dengan Anugerah Canselor, Anugerah Pelajar Terbaik Program dan Anugerah Pelajar Terbaik Fakulti Pendidikan dan Sains Sosial

“Walaupun ramai perempuan dalam PAKK, tapi Anugerah Canselor lelaki yang dapat. Sebelum ni tak pernah lagi pelajar PAKK dapat Anugerah Canselor,” ujarnya berseloroh.

Pesan gurunya yang diikuti sehingga kini, semasa di universiti, cari empat perkara ni. Kalau dapat empat perkara ni, campak ke mana-mana pun, Insya-ALLAH kita boleh bawa diri.

“Pertama, carilah ilmu sebanyak mana pun. Jangan fokus pada ilmu bidang pengajian sahaja.

“Kedua, carilah pengalaman banyak-banyak di universiti, kerana itu yang mematangkan anda.

“Ketiga, asah kemahiran semasa di universiti semasa ada pensyarah dan mentor yang boleh tegur kita, nanti masuk alam pekerjaan, kemahiran yang kita asah di uni akan banyak membantu kita.

“Dan yang keempat, bina jaringan ataunetworking dengan semua orang. Mahasiswa itu akan dikembalikan kepada masyarakat,” katanya.

NASIHAT PELAJAR PERANTAU

Sebagai seorang perantau, dia juga mempunyai nasihat kepada pelajar yang merantau lain.

“Jaga diri dan maruah keluarga. Hubungi keluarga selalu agar mereka rasa dekat dengan kita, walaupun jasad terpisah jauh.

“Dan sentiasa ingat keperitan keluarga untuk sampaikan kita ke universiti dan itu akan jadi pembakar semangat untuk kita lebih berjaya,” pesan Adiey.

Kini, Adiey sedang menyambung pelajarannya di Universiti Pendidikan Sultan Idris (Upsi) dalam jurusan Sarjana Pendidikan (Pendidikan Awal Kanak Kanak) dan dalam masa yang sama sedang mengambil Diploma Kemahiran (Early Childhood Care & Education Administration), Kursus Asuhan dan Didikan Permata dan Sijil Kemahiran Malaysia Tahap 3 Early Childhood Care & Education Practice.

-kampusuols.com

Unisel

Komen