Tender RM8.8 juta: Lima direman SPRM

Tender RM8.8 juta: Lima direman SPRM

TAWAU 15 Jan. – Lima individu iaitu pemilik dan pengurus daripada empat syarikat berbeza direman tujuh hari bagi membantu siasatan berhubung pembekalan makanan bermasak asrama empat sekolah menengah di sini, melibatkan tender dua tahun bernilai RM8,847,500.

Perintah reman tersebut dikeluarkan Majistret di Mahkamah Tawau, Herlina Muse bermula hari ini sehingga 21 Jan.

Penahanan reman itu bagi membolehkan Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) menyiasat kes tersebut mengikut Seksyen 18 Akta SPRM 2009 kerana mengemukakan penyata bank palsu untuk mendapatkan tender pembekalan bagi tempoh 2017 hingga 2018.

Penahanan lima individu terdiri daripada tiga wanita dan dua lelaki berumur lingkungan 35 hingga 65 tahun itu dilakukan semalam di lokasi berbeza antara 1.20 tengah hari hingga 9 malam.

Kesalahan itu membawa hukuman penjara hingga 20 tahun dan denda tidak kurang lima kali ganda daripada nilai tuntutan atau RM10,000 mengikut mana-mana yang lebih tinggi. – BERNAMA.

Utusan

Komen