Teliti masalah di Sabah sebelum benarkan anak tanpa kerakyatan bersekolah

Teliti masalah di Sabah sebelum benarkan anak tanpa kerakyatan bersekolah

Tarikh kemaskini: 15/10/2018

KOTA KINABALU, 15 Okt (Bernama) — Parti Amanah Negara (Amanah) Sabah menyambut baik langkah kerajaan persekutuan membenarkan kanak-kanak tanpa kerakyatan mendaftarkan diri di sekolah kerajaan namun berharap pelaksanaan dasar itu dapat ditangguhkan dahulu di Sabah.

Pengerusinya Haris Alimudin berkata ini kerana terdapat beberapa isu berkaitan individu tanpa kerakyatan di negeri itu yang perlu dibincangkan secara tuntas terlebih dahulu antaranya definisi yang akan diguna pakai dalam menentukan status seseorang kanak-kanak tanpa kerakyatan.

“Sebagai sebuah negara yang tidak merektifikasi Konvensyen 1954 mengenai orang tanpa negara menyebabkan sehingga hari ini belum ada takrifan khusus terpakai di negara kita bagi merujuk golongan berkenaan,” katanya dalam kenyataan, di sini hari ini.

Haris berkata Amanah Sabah juga berharap kerajaan dapat mengeluarkan statistik sebenar individu tanpa kerakyatan di Malaysia berikutan laporan suruhanjaya siasatan diraja berhubung pendatang asing tanpa izin (PATI) menyatakan terdapat 500,000 PATI di Sabah.

Katanya, Amanah Sabah juga ingin tahu bilangan sebenar kanak-kanak tanpa kerakyatan yang dibenarkan memasuki sekolah kerajaan.

Kerajaan persekutuan juga katanya perlu mengambil kira kemampuan prasarana sekolah untuk menampung kemasukan murid tanpa kerakyatan memandangkan Sabah sedang menghadapi masalah dalam perkara itu khususnya di kawasan bandar.

“Isu ketidakmampuan sekolah di Sabah khususnya di kawasan bandar menampung jumlah murid terlalu ramai adalah permasalahan besar yang sedang dihadapi… dengan kemasukan lebih ramai pelajar tanpa kerakyatan dibimbangi sekolah awam akan berhadapan dengan masalah lebih kritikal,” katanya.

Sehubungan itu, beliau berkata Amanah Sabah berharap kerajaan persekutuan akan mengambil pandangan semua pihak berkepentingan terutama rakyat Sabah sebelum dasar baharu tersebut dilaksanakan.

— BERNAMA

Komen