Tawau perlukan siren awal tsunami lebih banyak

Tawau perlukan siren awal tsunami lebih banyak

TAWAU, 24 Julai : Seorang pakar geologi hari ini meminta Jabatan Meteorologi Malaysia memasang lebih banyak siren amaran awal tsunami di sepanjang tepi pantai Tawau dan kawasan sekitar.

Prof Dr Felix Tongkul dari Universiti Malaysia Sabah berkata ini perlu kerana Tawau berisiko diancam tsunami ekoran kedudukannya yang hampir dengan sumber tsunami iaitu Indonesia dan Filipina.

“Tsunami boleh sampai ke Tawau dalam tempoh setengah jam dari sumber tsunami dan persediaan kita hanya bergantung kepada siren tetapi kini cuma ada satu siren dipasang.

“Lebih banyak siren perlu dipasang kerana bunyi daripada satu siren sahaja tidak mampu untuk memberi amaran kepada penduduk di semua kawasan,” katan ketika ditemui pemberita selepas menyampaikan pembentangan mengenai Bencana Tsunami di Tawau sempena Program Pendidikan Awam Bencana Gempa Bumi dan Tsunami Tawau 2018 di sini, hari ini.

Prof Felix berkata masyarakat pula perlu diberi kesedaran tentang keseriusan bencana ini jika berlaku menerusi kempen secara secara berterusan.

Terdahulu sewaktu pembentangan, Prof Felix berkata kejadian gempa bumi tidak dapat diramal dan begitu juga dengan tsunami.

“Tsunami boleh berlaku di sepanjang Peparit Manila, Peparit Mindoro dan Peparit Cotabato di Filipina serta Peparit Sulawesi Utara di Indonesia manakala tanah runtuh bawah laut boleh berlaku di cerun pelantar Sabah di Laut China Selatan,” katanya.

Selain itu katanya simulasi tsunami menunjukkan bahawa ombak tsunami sampai di Sabah antara 30 sehingga 120 minit dengan ketinggian ombak sekitar satu sehingga lima meter.

Mengenai ancaman tsunami di Tawau beliau berkata ancaman itu bergantung kepada kelebaran pelantar laut di Tawau serta jaraknya dari sumber tsunami.

“Pelantar yang cetek boleh melambatkan kelajuan ombak tsunami tetapi malangnya Tawau memiliki pelantar yang agak sempit (10 ke 20km lebar) danhanya terletak sekitar 300km dari sumber tsunami yang terdekat iaitu Peparit Sulawesi,” katanya.

Sementara itu dalam pembentangannya Prof Felix turut menggariskan beberapa langkah persediaan menghadapi tsunami termasuk keperluan pemetaan terperinci kawasan berisiko tinggi untuk mengenalpasti kawasan pemindahan serta laluan pemindahan yang sesuai.

Katanya, simulasi komputer untuk meramal masa ketibaan serta ketinggian ombak tsunami dan jarak masuk ke daratan perlu dilakukan setapat yang mungkin.

Bernama

Komen

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *