Tawau paling berpotensi terdedah dengan ancaman tsunami

Tawau paling berpotensi terdedah dengan ancaman tsunami

TAWAU: Daerah Tawau disifatkan kawasan paling berpotensi terdedah dengan ancaman tsunami di negara ini, khususnya Sabah kerana terletak berhampiran pusat gempa bumi dan tsunami di wilayah jiran Indonesia dan Filipina.

Pusat Kajian Bencana Alam (NDRC) Universiti Malaysia Sabah (UMS) mendedahkan ancaman tsunami di negeri ini boleh terhasil dari peparit-peparit di negara- negara jiran.

Antaranya, Peparit Manila, Peparit Mindoro, Peparit Cotabato di Filipina, Peparit Sulawesi Utara di Indonesia, selain potensi berlakunya tanah runtuh bawah laut di cerun pelantar Sabah di Laut China Selatan.

Gambar bandar Tawau

Malah, bahagian Timur dan Utara Sabah pernah dilanda tsunami setinggi 2 meter pada 21 September 1897 susulan gempa bumi bermagnitud 7.5 di Laut Sulu, Zamboanga Filipina.

Namun Pengarah NDRC UMS Prof. Dr Felix Tongkul berkata keadaan di Tawau tidak terlalu serius berbanding di Jepun, Filipina dan Indonesia, dan berada pada tahap enam daripada skala satu hingga 10.

“Simulasi ombak tsunami menunjukkan ancaman tsunami di Tawau adalah tinggi kerana terdedah kepada ombak tsunami dari Laut Sulawesi dan dekat dengan sumber tsunami.

“Malah, sebahagian besar kawasan di Bandar Tawau bertopografi rendah, justeru penduduk Tawau harus sentiasa berwaspada dan bersedia jika berlaku tsunami.

“Cuma jika mengambil contoh kes di Malaysia, Tawau adalah lokasi yang serius untuk terkena kesannya jika berlaku tsunami di Sulawesi Utara atau Filipina Selatan,” katanya.

Beliau berkata demikian dalam ceramahnya sempena Program Pendidikan Awam Bencana Gempa Bumi dan Tsunami di Dewan Sri Tawau, Jalan Sin On di sini pada Selasa.

Hadir sama, Pengerusi Jawatankuasa Bertindak Bencana Daerah merangkap Presiden Majlis Perbandaran Tawau Alijus Sipil dan Dekan Fakulti Sains dan Sumber Alam UMS Prof Dr Baba Musta.

Penceramah lain, Timbalan Pengarah NDRC UMS Dr Rodeano Roslee, Felo Penyelidik NDRC UMS Dr Muhammad Idris Bullare@Bahari dan Ketua Penolong Pengarah Bahagian Pembangunan Komuniti, Agensi Pengurusan Bencana Negara (Nadma) Mohd Faizal Ab Hamid.

Dr Felix berkata Pelantar laut di Tawau juga didapati agak sempit (berukuran 1020km lebar), ketika ancaman bergantungkepadakelebaran pelantar laut dan jaraknya dari sumber tsunami.

“Jika ada gempa bumi dan tsunami di Peparit Sulawesi Utara, kesannya dilihat boleh sampai ke Tawau dalam masa 30 minit selepas kejadian itu mula-mula berlaku,” katanya.

“Kita juga percaya wujud keperluan untuk Tawau memiliki lebih dari satu siren amaran awal supaya proses evakuasi penduduk dapat dijalankan dengan lebih berkesan,” katanya.

Menurutnya, NDRC UMS mencadangkan kerajaan memasang siren amaran awal tsunami di sepanjang pesisir pantai Tawau berbanding hanya satu sahaja dipasang di pusat bandar.

“Perkara sebegini baharu pertama kali kita kongsikan kepada umum, sebab itu hari ini kita panggil semua kakitangan kerajaan supaya sedar dengan keadaan di sini,” katanya.

Gambar bandar Tawau
Gambar bandar highway Tawau

Ditanya berhubung jangka masa untuk tsunami berlaku pula, beliau berkata kejadian ombak besar itu sukar diramal dan hanya boleh terhasil daripada kesan gempa bumi.

“Kerisauan kita mengenai sikap orang kita yang memandang remeh dengan keperluan untuk bersiapsedia kerana menganggap lagi tsunami datang ke tempat kita.

“Kita bukannya mahu buat persiapan yang hebat seperti di Jepun, Filipina dan Indonesia, tetapi sekurang-kurangnya kita sudah bersedia jika ada kejadian berlaku,” katanya.

Untuk rekod, setakat ini SistemAmaranAwalTsunami Nasional Malaysia di Bandar Tawau ada ditempatkan di Masjid Al-Kauthar di bawah Jabatan Meteorologi Malaysia.Burma Trading Corporation Ltd.

gambar hiasan #myTawau

Utusan Borneo (Sabah)26 Jul 2018Oleh AMIR ANUAR https://www.pressreader.com/malaysia/utusan-borneo-sabah/20180726/281633896032526

Komen