Tawau muncul juara keseluruhan Jubli Emas Temasya Sukan Olahraga MSS Sabah 2018

Tawau muncul juara keseluruhan Jubli Emas Temasya Sukan Olahraga MSS Sabah 2018

KOTA KINABALU: MSSD Tawau muncul juara merangkul 19 pingat emas, 10 perak dan dua gangsa untuk muncul juara keseluruhan Jubli Emas Temasya Sukan Olaharaga MSS Sabah 2018 yang berlangsung di Stadium Likas pada 21-24 Mac.

Kejohanan diperbaharui di mana penyertaan adalah mengikut daerah berbanding zon sebelum ini berkenaan turut diwarnai dengan 19 rekod baharu kejohanan.

Kejohanan yang menawarkan 87 pingat emas, 87 perak dan 87 gangsa itu melibatkan tiga peringkat umur iaitu bawah 18, 15 dan 12 tahun lelaki dan perempuan.

Sebanyak 24 pasukan Majlis Sukan Sekolah Daerah (MSSD) dari seluruh negeri ini mengambil bahagian melibatkan 1,489 atlet dan 606 pegawai.

Tempat kedua dimenangi Keningau dengan 12 emas, 11 perak dan lima gangsa manakala tempat ketiga Ranau dengan 10 emas, 16 perak dan 14 gangsa.

Mengikut kategori dan peringkat umur juga menyaksikan penguasaan Tawau apabila menjuarai kesemua kategori lelaki (18, 15 dan 12 tahun ke bawah) dan satu kategori perempuan iaitu 12 tahun ke bawah.

Dua lagi kategori perempuan dijuarai Keningau iaitu peringkat umur 18 dan 15 tahun ke bawah.

Kem Tawau juga diceriakan apabila dua atletnya dinobatkan sebagai Olahragawati dan seorang lagi sebagai Olahragawan.

Nur Amirah Qistina Daim (Tawau) dinobatkan sebagai Olahragawati 12 tahun ke bawah atas kejayaan memecahkan rekod 80 meter lari berpagar dengan catatan 13.47s memadamkan rekod lama 13.49s.

Halimatul Saadiah Mohammed Raja (Tawau) pula dinobatkan sebagai Olahragawati 15 tahun ke bawah dengan pencapaian lebih cemerlang, memecahkan dua rekod kejohanan.

Halimatul memecahkan rekod 100m lari berpagar dengan catatan14.77s (rekod lama 15.59s) dan memperbaharui rekod 200m lari berpagar dengan catatan 28.05s (rekod lama 29.26s).

Seorang lagi atlet Tawau, Amirul Yusof dinobatkan sebagai Olahragawan 12 tahun ke bawah dengan pencapaian memecahkan rekod 80m lari berpagar dengan catatan 11.53s (rekod lama 12.02s).

Timbalan Pengarah Pendidikan Sabah, Datuk Dr. Hj Mohd Kassim Mohd Ibrahim mewakili Ketua Pengarah Pelajaran Malaysia, Datuk Dr Amin Senin menyempurnakan majlis penutupan.

Turut bersama adalah Ketua Sektor Pembangunan Kemanusiaan Jabatan Pendidikan Negeri Sabah Ir Datu Jamigul Datu Salin yang mewakili Pengarah Pendidikan Sabah Datuk Hajah Maimunah Suhaibul, Pegawai Pendidikan Kota Kinabalu Umin Saidi dan timbalannya Gani Senang.

Komen

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *