Tawau, Kalimantan Utara mampu menjadi penggerak ekonomi

Tawau, Kalimantan Utara mampu menjadi penggerak ekonomi

SYED Abas Syed Ali (kiri) ketika menerima kunjungan hormat Konsul Jeneral Indonesia di Kota Kinabalu, Khrisna Djelani, di Bangunan Dewan Undangan Negeri Sabah. – Foto ihsan Courtesy of Liza Din

KOTA KINABALU: Kawasan Serudong di Tawau dan Kalimantan Utara berupaya menjadi zon ekonomi yang strategik bagi menyokong sektor perdagangan di kedua-dua wilayah berkenaan.

Speaker Dewan Undangan Negeri Sabah, Datuk Syed Abas Syed Ali, berkata kedudukan Sabah khususnya Tawau yang terletak berhampiran Kalimantan Utara mempunyai pelbagai potensi ekonomi untuk meningkat ekonomi penduduk di situ.

Beliau berkata, lokasi Tawau yang berhampiran dengan sempadan Indonesia harus dimanfaatkan sebaiknya bagi meningkatkan lagi ekonomi perdagangan kedua-dua negara.

“Selain itu, dengan adanya jaringan Lebuhraya Pan Borneo, ia turut memberi manfaat kepada pengguna jalan raya termasuk memberi impak kepada pertumbuhan ekonomi masyarakat.

“Oleh itu, amat wajar kerajaan mengambil pendekatan awal dengan mewujudkan zon ekonomi bagi menggalakkan perdagangan antara Tawau dan Kalimantan Utara yang secara tidak langsung turut memberi peluang kepada masyarakat menceburi bidang perniagaan,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika menerima kunjungan hormat Konsul Jeneral Indonesia di Kota Kinabalu, Khrisna Djelani, di Bangunan Dewan Undangan Negeri Sabah di sini.

Syed Abas berkata, berikutan kekangan dan masalah sistem barter di perairan pantai timur Sabah, Kalimantan menjadi antara jalan penyelesaian terbaik dalam menjalin lebih banyak kerjasama ekonomi serantau.

“Satu kaedah baharu harus diterokai bagi memastikan Tawau terus berkembang maju. Berikutan ada kekangan untuk menjalankan perdagangan di laut sehingga menjejaskan sesetengah perniagaan, pembukaan laluan darat harus diberi pertimbangan demi menjamin pertumbuhan ekonomi di Tawau,” katanya.

Sementara itu, Krishna berkata Indonesia sentiasa menjalinkan kerjasama dengan Sabah, di samping mengeratkan hubungan dua hala melalui pelbagai potensi yang boleh diterokai bagi memenuhi permintaan penduduk di Kalimantan.

“Sabah bertuah kerana mempunyai konsul jeneral di Tawau dan Kota Kinabalu. Kita juga akan bekerjasama dengan kerajaan dan mengeratkan lagi persahabatan khususnya dalam aspek sosial, ekonomi serta budaya. -bharian

Komen