Tawau, Destinasi Mesti Dikunjungi Pelancong Menjelang 2020 – Christina Liew

Tawau, Destinasi Mesti Dikunjungi Pelancong Menjelang 2020 – Christina Liew

KOTA KINABALU: Kerajaan negeri menerusi Lembaga Pelancongan Sabah (STB) telah melancarkan kempen Cuti-Cuti Tawau untuk mempromosikan daerah itu sebagai salah satu lokasi tumpuan pelancong menjelang 2020.

Timbalan Ketua Menteri, Datuk Christina Liew berkata kempen Cuti-Cuti Tawau dilancarkan semasa promosi pelancongan antarabangsa di ITB Berlim pada 6-9 Mac lalu dan Pameran Persatuan Ejen Pelancongan dan Pengembaraan (Matta) di Kuala Lumpur pada 15-17 Mac.

Timbalan Ketua Menteri, Datuk Christina Liew. Gambar SNT/Datu Ruslan Sulai.

“Bagi tujuan tersebut pelbagai aktiviti promosi dan pemasaran akan dilaksanakan pada tahun ini untuk meletakkan Tawau sebagai daerah yang mesti dikunjungi oleh pelancongan semasa berada di Sabah.

“Senarai ini telah dikemukakan kepada Majlis Tindakan Pelancongan Tawau untuk tindakan memandangkan isu penyelenggaraan, kebersihan dan keselamatan harus ditangani sebelum usaha promosi produk berkenaan dapat diteruskan,” katanya katanya ketika sesi soal jawab Sidang Dewan Undangan Negeri di sini hari ini.

Beliau berkata demikian sebagai menjawab soalan Datuk Hamisah Samat (Warisan-Tanjong Batu) berhubung langkah kementerian dan strategi kementerian untuk menarik pelancong datang ke kawasan Dewan Undangan Negeri (Dun) Tanjong Batu.

Hamisa berkata Tanjung Batu mempunyai produk laut, tanaman dan tempat bersejarah yang boleh dijadikan sebagai tumpuan pelancong menjelang 2020.

Dalam pada itu Christina yang juga Menteri Pelancongan, Kebudayaan dan Alam Sekitar menggesa Hamisa bekerjasama dengan Majlis Tindakan Pelancongan Tawau untuk melaksanakan penambahbaikan di kawasan Tanjong Batu.

Christina berkata ia sebagai usaha mengenal pasti kawasan-kawasan pelancongan yang sedia untuk dipromosikan kepada pelancongan tempatan dan luar negara.

“Cadangan keperluan prasarana bagi kawasan pelancongan yang berpotensi untuk diketengahkan boleh dikemukakan kepada kementerian saya dan mengenai produk laut, tanaman dan tempat bersejarah ia diakui berpotensi dimajukan dan dipromosikan sebagai produk pelancongan Tawah,” katanya. – SabahNewsToday

Komen