TANGANI ISU PENGANGKUTAN AWAM SABAH, BERI KEMUDAHAN TERBAIK KEPADA RAKYAT

TANGANI ISU PENGANGKUTAN AWAM SABAH, BERI KEMUDAHAN TERBAIK KEPADA RAKYAT

KOTA KINABALU: Sabah perlu memandang serius berkaitan menangani isu pengangkutan awam dalam usaha memberikan kemudahan sistem pengangkutan terbaik bagi rakyat negeri ini.

Timbalan Menteri Pengangkutan, Datuk Kamarudin Jaffar berkata ia termasuklah mengkaji semula sistem sedia ada agar menjadi lebih efisien dan kos efektif.

Menteri Kesihatan dan Kesejahteraan Rakyat Sabah Datuk Frankie Poon Min Fung mendengar penerangan sambil diperhatikan oleh Timbalan Menteri Pengangkutan Datuk Kamarudin Jaffar selepas merasmikan Forum Pelabuhan Sabah Ke Dua di Kota Kinabalu. Gambar SNT/Mohd Adam Arinin

“Secara keseluruhannya, kementerian diperingkat persekutuan sentiasa mengkaji tiga modal pengangkutan utama iaitu darat, air dan udara.

“Sama seperti negeri lain, Sabah pastinya perlu kepada penekanan yang baharu supaya pengangkutan awam di negeri ini dapat terus dipertingkatkan.

“Banyak projek sudah diumumkan khususnya berkaitan pelabuhan serta lapangan terbang seperti pembesaran lapangan terbang Sandakan yang dilihat mengukuhkan lagi struktur ekonomi negeri,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika ditemui media pada sidang media selepas menghadiri Forum Pelabuhan Sabah Ke Dua, dekat sini, hari ini.

Forum berkenaan dirasmikan oleh Menteri Kesihatan dan Kesejahteraan Rakyat Sabah, Datuk Frankie Poon Min Fung mewakili Ketua Menteri, Datuk Seri Mohd Shafie Apdal.

Turut hadir Pengerusi Suria Capital Holdings Berhad dan Sabah Ports Sdn Bhd, Tan Sri Ibrahim Menudin.

Berlangsung selama dua hari bermula 1 hingga 2 Oktober, forum terbabit disertai kira-kira 500 peserta daripada dalam mahupun luar negara.

Dalam pada itu, Kamarudin berkata menerusi peruntukkan kewangan yang dimiliki selain kerjasama daripada kerajaan negeri dan swasta, ia mampu memberikan perhatian kepada pembangunan pengangkutan secara menyeluruh.

Sementara itu, ditanya mengenai perancangan kerajaan negeri membina rangkaian kereta api daripada Kota Kinabalu ke Kudat, beliau menggalakkan kerajaan Sabah mengadakan perbentangan kepada Kementerian Hal Ehwal Ekonomi berkaitan perkara terbabit agar boleh diberikan peruntukkan dalam Belanjawan 2020 yang bakal dibentangkan di Parlimen hujung bulan ini.

“Saya berpendapat sekiranya perkara ini dibentangkan kepada peringkat pusat, sudah tentu ia diberikan pertimbangan terbaik untuk dimasukkan dalam belanjawan.

“Bagaimanapun, jika perkara ini tidak dimasukkan dalam belanjawan nanti, mungkin ia akan dimasukkan dalam Rancangan Malaysia Ke 12 (RMK12) yang akan bermula tahun hadapan,” katanya. -SabahNews Today

Komen