Tanam petrol seludup dalam pasir

Tanam petrol seludup dalam pasir

Pasukan Polis Marin (PPM) berjaya merampas sebanyak 12 gelen petrol yang cuba diseludup dan ditanam dalam pasir di Pantai Kampung Sinakut Felda Sahabat, Lahad Datu. – Foto ihsan PPM

LAHAD DATU: ‘Kebumi’ tong berisi petrol dalam pasir untuk mengaburi mata pihak berkuasa adalah taktik terbaru dikesan digunakan penyeludup bahan bakar bersubsidi di sini.

Taktik itu bagaimanapun terbongkar selepas satu serbuan dijalankan Pasukan Polis Marin (PPM) di kawasan pesisir Pantai Kampung Sinakut Felda Sahabat, di sini, jam 6 petang, semalam.

Komander PPM Wilayah Empat Sabah, Asisten Komisioner Mohamad Pajeri Ali, berkata serbuan dijalankan berpandu kepada maklumat Unit Risikan Marin (URM) berhubung kegiatan penyeludupan minyak di kawasan berkenaan.

Pasukan Polis Marin (PPM) berjaya merampas sebanyak 12 gelen petrol yang cuba diseludup dan ditanam dalam pasir di Pantai Kampung Sinakut Felda Sahabat, Lahad Datu. – Foto ihsan PPM

Katanya, pemeriksaan di kawasan berkenaan menemui 12 gelen berwarna hijau mengandungi cecair yang terbenam di dalam pasir.

“Hasil pemeriksaan mendapati semua gelen (tong) berkenaan mengandungi minyak petrol bersubsidi.

“Polis percaya rampasan minyak petrol yang dianggarkan bernilai RM583 itu cuba diseludup ke negara jiran,” katanya dalam satu kenyataan media, hari ini.

Mohamad berkata, semua rampasan dibawa ke pangkalan Markas Operasi Pasukan Polis Marin Lahad Datu untuk tindakan selanjutnya dan kes disiasat mengikut Seksyen 21 Akta Kawasan Bekalan 1961 dan dibaca bersama Peraturan-Peraturan Kawalan Bekalan.

“Jika sabit kesalahan, pesalah boleh didenda tidak lebih RM1 juta bagi orang perseorangan atau penjara tidak melebihi tiga tahun atau kedua-duanya sekali,” katanya.

Komen