Tanah runtuh di Ranau

Tanah runtuh di Ranau

PENGGUNA jalan raya dinasihatkan menggunakan laluan alternatif sepanjang tempoh kerja pembersihan dilakukan susulan kejadian tanah runtuh di Kilometer 96.7 Jalan Kota Kinabalu-Sandakan, berhampiran Kampung Pinausok di Ranau, malam tadi.

Penolong Jurutera Jabatan Kerja Raya (JKR) Daerah Ranau, Terry Ladas berkata, pihaknya dan konsesi JKR, Syarikat Lintasan Resources Sdn Bhd sedang giat menjalankan operasi membersihkan sisa runtuhan seawal 6 pagi tadi.

Katanya, hujan berterusan sejak 2 petang sehingga 9 malam tadi menyebabkan runtuhan bukit di tepi jalan terbabit dan menutup laluan kedua-dua arah sepanjang 100 meter.

“Operasi pembersihan bermula malam tadi namun terpaksa ditangguhkan sebagai langkah keselamatan kerana pergerakan tanah runtuh masih berlaku sebelum disambung pada pagi ini.

“Kesan hujan semalam menyebabkan tanah setinggi 150 meter dengan lebar 30 meter terhakis dan sebahagiannya menjadi lumpur,” katanya ketika dihubungi, hari ini.

Menurutnya lagi, JKR dan konsisi menggunakan tiga jentera serta empat lori untuk membersihkan dan membaik pulih keadaan laluan.

“Pemasangan saluran ‘culvert’ turut dilakukan dan dianggarkan mengambil masa selama dua minggu.

“Pemerhatian setakat ini juga terdapat air mengalir dari puncak disebabkan kerja meratakan tanah dan kemungkinan besar, sekiranya hujan berlaku lagi, kejadian akan berulang,” katanya.

Sehubungan itu, Terry menasihatkan pengguna jalan raya di Kundasang supaya menggunakan laluan alternatif di Jalan Semuruh, Jalan Kibbas (Kamoung Dumpiring), Jalan Pinausok Kundasang atau Jalan Kiulu- Rondogung Ranau bagi yang bergerak ke Kota Kinabalu dan Ranau.

“Selain itu, jalan alternatif atau laluan utama yang lain adalah Jalan Ranau – Tambunan – Kota Kinabalu (Jalan Gunung Emas) dan Jalan Ranau – Kota Marudu (Jalan Marak-Parak),” katanya.

Kejadian tanah runtuh ini turut menyebabkan lebih 50 kawasan mengalami gangguan bekalan elektrik, malam tadi. -hmetro

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 9 Disember 2019 @ 9:25 AM

Komen