TAMU MINGGUAN SABINDO BAKAL DILENGKAPI KAMERA LITAR TERTUTUP (CCTV)

TAMU MINGGUAN SABINDO BAKAL DILENGKAPI KAMERA LITAR TERTUTUP (CCTV)

TAWAU; 26 JUN 2019 (Rabu) – Dalam usaha menangani pembuangan sampah secara berleluasa semasa Tamu Ahad Sabindo (TAS) beroperasi sepenuhnya 30 Jun ini, Majlis Perbandaran Tawau (MPT) akan memasang rakaman kamera litar tertutup (CCTV).

Presiden Majlis Perbandaran Tawau (MPT), Datuk IR Amrullah Kamal berkata, pemasangan CCTV itu penting bagi memastikan peniaga-peniaga sentiasa menitikberatkan aspek kebersihan pasar terbabit.

Katanya, ia juga secara langsung memudahkan pihaknya mengenalpasti peniaga-peniaga yang tidak bertanggungjawab dan mengenakan tindakan keatas mereka yang melakukan kesalahan.

Beliau berkata demikian kepada pemberita RTM ketika ditemui selepas berucap di program mendaftar dan cabut undi lot pasar Tamu Ahad Sabindo yang berlangsung di lot parkir perkarangan bangunan MPT, pagi tadi.

Katanya, masyarakat setempat khususnya penduduk Tawau perlu akur dengan keputusan pihak berkuasa tempatan dengan memindahkan Pasar Mingguan Takada yang merupakan tempat tumpuan masyarakat setempat di daerah itu.

Usaha itu juga merupakan langkah terbaik bagi mengatasi masalah kesesakkan lalulintas dan masalah meletakkan kenderaan apabila orang ramai berkunjung ke tapak pasar Takada yang mengundang banyak masalah setiap kali tiba tamu ahad setiap minggu.

Sementara itu, tinjauan RTM sekitar proses cabut undi tapak lot pasar tamu mendapati ianya berjalan lancar, orang ramai berkumpul seawal pukul 8 pagi bagi mengikuti proses pendaftaran dan proses cabut undi lot pasar sehingga selesai seperti yang dijadualkan iaitu pukul 1 tengahari.

#BESTAWAUfm

Komen