TAMU MINGGUAN, PASAR MALAM TAKADA MASIH DIKEKALKAN, PENGENDALIAN DIAMBIL ALIH MPT 3 MAC HADAPAN

TAMU MINGGUAN, PASAR MALAM TAKADA MASIH DIKEKALKAN, PENGENDALIAN DIAMBIL ALIH MPT 3 MAC HADAPAN

TAWAU; 25 FEBRUARI 2019 (Isnin) – Tamu mingguan Pasar Takada dan Pasar Malam akan diteruskan sementara namun pengendalian pengurusan berkenaan kedua-dua pasar itu akan diambil alih oleh Majlis Perbandaran Tawau (MPT) bermula 3 Mac hadapan.

Presiden Majlis Perbandaran Tawau, Alijus Sipil berkata, sebelum ini pengendalian pasar-pasar berkenaan telah diletakkan dibawah tanggungjawab sebuah syarikat konsesi sebelum diberikan notis menamatkan urusan pengendaliannya sehingga 2 Mac.

Beliau berkata demikian kepada Pemberita dalam satu sidang media di Bilik Gerakan MPT, di Tawau.

Baru-baru ini, timbul isu sesetengah peniaga Tamu mingguan yang menzahirkan rasa tidak berpuas hati sekiranya diminta tidak meneruskan perniagaan selepas diarahkan berpindah oleh MPT.

Jelas Alijus, pihak MPT tidak berhasrat untuk menutup sebarang peluang perniagaan penjaja sebaliknya bertindak berikutan aduan secara lisan dan bertulis daripada peniaga dan orang awam.

Ini termasuk mendapati kewujudan penjaja yang berniaga di tamu mingguan dan Pasar Malam berkenaan warga asing turut diberikan kebenaran untuk berniaga oleh syarikat konsesi yang dilantik terbabit.

Sehubungan itu katanya, pihak MPT akan membuat tapisan semula jumlah peniaga yang dibenarkan untuk berniaga. Justeru, peniaga diminta agar memberikan kerjasama penuh pada MPT bagi memastikan hanya peniaga warganegara Malaysia sahaja dibenarkan untuk berniaga di lot berkenaan.

Mengulas lanjut berkenaan pelaksanaan pemindahan peniaga Tamu Mingguan ke Sabindo, Alijus berkata buat sementara ini tapak itu merupakan alternatif baharu yang dipercayai berupaya menempatkan sehingga 700 penjaja, mudah dikunjungi dan memberi keselesaan kepada pengunjung.

Walaubagaimanapun katanya, keputusan perpindahan ke kawasan berkenaan sehingga kini belum dimuktamadkan sepenuhnya memandangkan perlu tapisan dan kajian secara menyeluruh.

Tamu Minggu yang dibuka di keseluruhan tapak lot parkir barisan bangunan Takada itu dipercayai menempatkan sebanyak 610 peniaga berbanding jumlah yang diperuntukkan iaitu 300 peniaga sahaja di peringkat awal.

Sumber #BESTAWAUAfm

Komen