TAMAN PERINDUSTRIAN BAHARU DICADANG DI TAWAU

TAMAN PERINDUSTRIAN BAHARU DICADANG DI TAWAU

TAWAU: Daerah Tawau dan Kalabakan memerlukan ransangan ekonomi baharu melalui kewujudan kawasan taman perindustrian yang serba lengkap sekaligus mewujudkan peluang pekerjaan kepada rakyat.

Itu hasrat yang disampaikan Ahli Dewan Undangan Negeri (Adun) Merotai, Sarifuddin Hata yang melihat daerah ini kaya dengan pelbagai sumber alam termasuk emas dan batu arang bermutu tinggi serta mampu menjana pendapatan Sabah secara keseluruhan.

Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Merotai, Sarifuddin Hata berucap dalam Majlis Rumah Terbuka Hari Raya Aidilfitri anjuran Warisan P.190 dan P.192 di Kompleks Sukan Tawau. Gambar SNT / Nasrawati Syarifuddin

“Saya memohon kepada Kerajaan Negeri dan Pusat mewujudkan taman perindustrian yang baharu dan serba lengkap untuk meransang ekonomi di sini.

“Kawasan industri tidak hanya perlu dibangunkan di Kota Kinabalu, Lahad Datu dan Sandakan sahaja tetapi di Tawau juga harus diwujudkan.

“Jadi saya mohon supaya perkara ini dapat dipertimbangkan dan dibuat kajian secara menyeluruh kerana ia mampu memberi impak besar kepada daerah ini sekaligus meningkatkan pendapatan negeri Sabah,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika berucap pada Majlis Rumah Terbuka Hari Raya Aidilfitri anjuran Warisan P.190 dan P.192 di Kompleks Sukan Tawau, di sini hari ini.

Majlis berkenaan dirasmikan Ketua Menteri Sabah yang juga Presiden Parti Warisan Sabah, Datuk Seri Mohd Shafie Apdal.

Majlis itu juga turut dimeriahkan dengan kehadiran menteri-menteri Kabinet negeri dan pemimpin tempatan serta kira-kira 10,000 pengunjung.

Pelbagai persembahan turut disajikan seperti tarian kebudayaan, nyanyian lagu hari raya, nasyid serta pemberian duit raya kepada 100 asnaf daripada Parlimen Kalabakan dan Tawau.

Dalam pada itu, beliau turut memohon Menteri Pelancongan, Kebudayaan dan Alam Sekitar Sabah untuk mewujudkan destinasi-destinasi baharu tarikan pelancong atau naik taraf kemudahan yang sedia ada di daerah ini.

“Sebenarnya banyak destinasi pelancongan di daerah ini namun keadaan prasarananya tidak dalam keadaan baik seperti di Air Terjun Taman Bukit Tawau, Batu Bersusun Balung dan Maliau Basin.

“Tempat-tempat ini haruslah dinaiktaraf kemudahannya sekaligus menambahbaik pemandangan,” jelasnya. –SabahNewsToday.

Komen