TAMAN BUKIT TAWAU BAKAL DIWARTAKAN SEBAGAI TAMAN NEGARA KEBANGSAAN

TAMAN BUKIT TAWAU BAKAL DIWARTAKAN SEBAGAI TAMAN NEGARA KEBANGSAAN

Kawasan Taman Bukit Tawau yang bakal diwartakan sebagai Taman Negara. – Gambar SNT/Nasrawati Syarifuddin

TAWAU: Kawasan rekreasi Taman Bukit Tawau bakal diwartakan sebagai Taman Negara Kebangsaan sekaligus menjadikannya salah satu tarikan pelancongan terbaharu di daerah ini.

Menteri Pelancongan, Kebudayaan dan Alam Sekitar Sabah Datuk Christina Liew berkata pihaknya sudah mengenal pasti kawasan seluas lebih 40 hektar di Taman Bukit Tawau untuk diwartakan. 

“Lokasi itu sangat strategik kerana dilengkapi dengan elemen alam sekitar seperti air terjun, aliran air panas, bukit, hidupan liar dan kaya dengan pokok hutan.

“Penaiktarafan Bukit Tawau itu antara perancangan jangka masa panjang kerajaan negeri dalam menyediakan Tawau sebagai hub pelancongan baharu negara,” katanya ketika ditemui dalam Gotong Royong Mega anjuran Majlis Perbandaran Tawau di sini, semalam.

Sementara itu beliau menyifatkan penerbangan antarabangsa yang semakin bertambah di Lapangan Terbang Tawau (LTT) dilihat mampu menjadikan daerah ini berkembang sebagai hub pelancongan pada masa akan datang.

Menurunya penerbangan antarabangsa dari Brunei dan selepas ini China langsung ke LTT telah bermula, malah mungkin akan ada penerbangan langsung dari Makasar, Indonesia selepas ini.

Christina memaklumkan pihaknya ada menerima jemputan dari Kementerian Pelancongan Indonesia untuk mengadakan pertemuan dan perbincangan mengenai kerjasama strategik pelancongan khususnya di Tawau. 

“Perpindahan Ibu negara Indonesia ke Kalimantan juga bakal menjadikan daerah ini menjadi tumpuan dalam banyak perkara termasuk berkaitan hub perubatan dan pendidikan selain industri pelancongan itu sendiri.

“Dijangka perbincangan membabitkan kedua-dua pihak itu akan dilakukan tahun depan,” katanya. – SabahNewsToday

Komen