Syabu dalam kontena untuk diseludup ke negara luar

Syabu dalam kontena untuk diseludup ke negara luar

MOHAMAD Fuzi (tiga dari kiri), diiringi Pengarah Jabatan Siasatan Jenayah Narkotik (JSJN) Bukit Aman, Datuk Seri Mohmad Salleh (dua dari kiri), selepas sidang media rampasan dadah di Ibu Pejabat Polis Bukit Aman. – NSTP/Sairien Nafis

KUALA LUMPUR: Lori kontena membawa muatan lebih setengah tan dadah disyaki syabu yang berjaya ditahan Jabatan Siasatan Jenayah Narkotik (JSJN) Bukit Aman, Sabtu lalu dipercayai dalam perjalanan ke Pelabuhan Pulau Pinang.

Ketua Polis Negara, Tan Sri Mohamad Fuzi Harun, berkata hasil siasatan awal mendapati sebahagian dadah disyaki syabu seberat 569.5 kilogram itu adalah untuk diseludup ke negara luar.

Katanya, susulan rampasan lori kontena itu, seramai tiga individu disyaki ahli sindiket ditahan.

“Tangkapan pertama seorang lelaki berusia 40 tahun di kawasan Rehat dan Rawat (RNR) Taiping yang juga pemandu lori kontena berkenaan, turut dirampas dadah disyaki syabu seberat 569.5 kilogram.

“Dalam serbuan berasingan, kita berjaya menahan seorang lelaki berusia 49 tahun di sebuah premis di Ipoh manakala individu ketiga lelaki berusia 39 tahun ditahan di Plaza Tol Bidor.

“Dalam ketiga-tiga serbuan kita menyita sebuah kenderaan pacuan empat roda, sebuah lori dan wang tunai berjumlah RM1,768,” katanya pada sidang media di Bukit Aman, di sini, hari ini.

Fuzi berkata, semua suspek ditahan reman selama tujuh hari sehingga 19 Januari depan.

“JSJN Bukit Aman masih menjalankan siasatan lanjut mengenai kes berkenaan mengikut Seksyen 39B Akta Dadah Berbahaya 1952.

“Kita juga masih menyiasat bagi mengenalpasti dari mana dadah itu diperoleh,” katanya

Semalam, media melaporkan polis berjaya merampas dadah jenis syabu dianggarkan seberat ratusan kilogram dalam sebuah lori kontena ketika satu operasi di Hentian Taiping, Lebuhraya Utara Selatan (PLUS) arah utara.

Kenderaan berat itu ditahan melalui sekatan jalan di hentian berkenaan dengan bantuan pasukan polis Peronda Lebuh Raya (EMPV) kira-kira jam 4 petang kelmarin.

Memetik sumber, lori kontena itu dalam perjalanan menuju arah utara dan diekori sepasukan polis dari JSJN Bukit Aman susulan dipercayai membawa muatan dadah jenis syabu.

Hasil pemeriksaan polis menemui beberapa kotak di dalam kontena itu yang didapati mengandungi dadah dipercayai syabu yang dianggarkan seberat 500 kilogram.
bharian

Komen