SYABU DALAM BILIK, DUA LELAKI DITAHAN

SYABU DALAM BILIK, DUA LELAKI DITAHAN

LAHAD DATU: Dua lelaki termasuk seorang pemandu di jabatan kerajaan ditahan polis selepas disyaki memiliki dadah jenis syabu seberat 6.25 gram bernilai RM987, di Perumahan Jabatan Haiwan, Jalan Segama, di sini, semalam.

Dalam kejadian jam 8.50 malam itu, Ketua Polis Daerah Lahad Datu, Asisten Komisioner Nasir Mansor berkata salah seorang daripada suspek berusia 37 dan 52 tahun adalah individu yang dikehendaki polis yang aktif menjual syabu di sekitar daerah ini.

Kedua-dua suspek kini ditahan untuk siasatan lanjut dibawah Seksyen 39A(1) Akta Dadah Berbahaya 1952 dan Seksyen 15(1)(a) akta yang sama. Gambar SNT/Ihsan IPD Lahad Datu

Katanya hasil risikan dan maklumat daripada orang ramai, pihaknya berjaya menjejaki suspek di sebuah perumahan tidak bernombor.

“Ketika pihak polis tiba, kedua-dua suspek berada di dalam rumah terbabit. Bagaimanapun, hasil pemeriksaan ke atas tubuh suspek, kita hanya menemui satu kunci bilik.

“Suspek kemudian menunjukkan arah bilik yang berkunci terbabit dan hasil pemeriksaan menemui satu bekas plastik dan di dalamnya mengandungi tiga lagi paket plastik lutsinar berisi ketulan hablur jernih disyaki dadah jenis syabu seberat 6.25g dengan nilai anggaran RM987,” katanya dalam satu kenyataan di sini hari ini.

Pemeriksaan polis menemui satu kunci bilik yang dijadikan tempat menyembunyikan dadah jenis syabu seberat 6.25g dengan nilai anggaran RM987. Gambar SNT/Ihsan IPD Lahad Datu

Nasir berkata pihaknya turut menemui 15 gulung kertas timah di atas lantai bilik terbabit yang digunakan untuk menghisap syabu.

“Hasil ujian air kencing, suspek berusia 52 tahun didapati positif dadah jenis methapentamine manakala suspek berusia 37 tahun pernah memiliki rekod kesalahan lampau pada tahun 2017 dibawah Seksyen 15(1)(a) Akta Dadah Berbahaya 1952.

“Kedua-dua suspek kini ditahan untuk siasatan lanjut dibawah Seksyen 39A(1) Akta Dadah Berbahaya 1952 dan Seksyen 15(1)(a) akta yang sama,” katanya. – SabahNewsToday

Komen