SUSPEK CURI DOMPET WANITA DITAHAN KURANG 24 JAM

SUSPEK CURI DOMPET WANITA DITAHAN KURANG 24 JAM

TAWAU, 20 Februari 2019 – Polis menahan seorang lelaki berusia 21 tahun kerana dipercayai mencuri dompet seorang wanita di sebuah masjid, di Taman Ria 9, semalam.

Ketua Polis Daerah Tawau, ACP Fadil Bin Hj. Marsus berkata, berdasarkan hasil siasatan menerusi rakaman kamera litar tertutup (CCTV) di masjid berkenaan, suspek berjaya di berkas di Taman Ria 2, Tawau petang semalam.

Katanya, dalam kejadian kira-kira 11.00 pagi semalam, seorang guru Kafa berusia 31 tahun kehilangan dompet ketika berada di dalam masjid tersebut.

“Ketika mangsa meninggalkan masjid berkenaan, mangsa mendapati dompet yang mengandungi kad pengenalan, Kad ATM, lesen memandu dan wang tunai telah hilang sejurus keluar masjid tersebut,” katanya.

Hasil siasatan awal Polis, suspek mengaku terlibat dalam kejadian itu, dengan dipandu arah, suspek telah membawa Polis ke kawasan berhampiran suspek ditahan dan menunjukkan sebuah dompet berwarna merah yang mengandungi sejumlah wang tunai, kad pengenalan, Kad ATM dan lesen memandu.
Hasil pemeriksaan ujian air kencing mendapati suspek positif dadah jenis methampethamine (syabu).

Suspek dibawa ke IPD Tawau dan kes disiasat di bawah Seksyen 380 Kanun Keseksaan kerana mencuri dan boleh dikenakan hukuman penjara 10 tahun dan denda atau kedua-duanya jika sabit kesalahan, katanya.

ACP Fadil berkata, pihak pengurusan masjid dan surau di daerah ini dicadangkan supaya memasang kamera litar tertutup (CCTV) bagi membendung kejadian kecurian harta benda serta peralatan masjid dan sekitarnya.

Sumber: Polis Daerah Tawau

Komen