Sudahlah lesen tamat tempoh, angkut diesel tanpa kebenaran

Sudahlah lesen tamat tempoh, angkut diesel tanpa kebenaran

KAPAL kargo yang membawa muatan 55,000 liter minyak diesel ditahan Maritim Malaysia kerana beroperasi menggunakan lesen tamat tempoh di kawasan perairan Sungai Serudong, Tawau. – Foto ihsan Maritim Malaysia

TAWAU: Sebuah kapal kargo bukan saja membawa muatan 55,000 liter diesel tanpa kebenaran, tetapi juga beroperasi menggunakan lesen tamat tempoh.

Berikutan itu, kapal berkenaan di tahan Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (Maritim Malaysia) ketika berada di perairan Sungai Serudong, di sini, semalam.

Timbalan Pengarah Operasi, Zon Maritim Tawau, Komander Maritim Mohd Yusri Hussin, berkata kapal kargo tempatan itu ditahan sepasukan anggotanya yang menjalankan Ops Pluto Timur dan Ops Maharlika 2 pada kira-kira 3.20 petang.

Katanya, pemeriksaan awal mendapati juragan bersama empat kru warga tempatan berumur 34 hingga 72 tahun berada dalam bot berkenaan.

JURAGAN dan kru kapal kargo yang ditahan oleh Maritim Malaysia di kawasan perairan Sungai Serudong, Tawau. – Foto ihsan Maritim Malaysia

“Selepas pemeriksaan lanjut, kita dapati lesen kapal kargo terbabit sudah tamat tempoh dan tidak diperbaharui sejak 31 Mei 2018, selain lesen Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna (KPDNHEP) tamat tempoh pada 26 Februari 2019,” katanya dalam kenyataan di sini, malam tadi.

Berikutan itu, Mohd Yusri berkata, juragan dan kru ditahan manakala kapal kargo dan barang rampasan yang dianggarkan berjumlah RM350,000 dibawa ke Jeti Zon Maritim Tawau untuk siasatan lanjut.

“Kes disiasat mengikut Akta Kawalan Bekalan 1961 dan Ordinan Perkapalan Saudagar 1952 (MSO),” katanya. – Berita Harian

Komen