‘Stesen minyak’ dalam hutan bakau

‘Stesen minyak’ dalam hutan bakau

PETROL dirampas PPM susulan serbuan di hutan bakau, Pulau Bohey Dulang di Semporna. FOTO IHSAN PPM

BEKALAN petrol dibawa sedikit demi sedikit dan dikumpul di hutan bakau sebelum diseludup ke Filipina.

Itu antara taktik dan modus operandi digunakan seorang lelaki warga asing apabila kegiatannya berjaya dikesan Unit Risikan Marin (URM) Pasukan Polis Marin (PPM).

Komander PPM Wilayah 4 Sabah, Asisten Komisioner Mohamad Pajeri Ali berkata, berpandukan maklumat risikan, seorang suspek berusia 23 tahun ditahan ketika serbuan di sebuah rumah tidak bernombor di Pulau Bohey Dulang, Semporna, kira-kira jam 4.30 petang, semalam.

Katanya, hasil serbuan membawa kepada penemuan kira-kira 800 liter petrol diisi dalam 32 tong masing-masing mengandungi 25 liter setiap satu disembunyikan dalam hutan bakau disyaki untuk diseludup.

“Kejayaan serbuan ini adalah hasil pemantauan dan risikan berterusan PPM. Siasatan mendapati suspek memperoleh bekalan petrol sedikit demi sedikit di pekan Semporna sebelum dikumpul di hutan yang sukar dilalui atau dilihat pasukan keselamatan termasuk orang awam,” katanya menerusi kenyataan, hari ini.

Mohamad Pajeri berkata, walaupun pelbagai taktik dan modus operandi digunakan penyeludup, namun ia tidak menghalang PPM mengesan serta mengekang aktiviti menyalahi undang-undang.

Katanya, tangkapan dan rampasan termasuk sebuah bot digunakan untuk memunggah petrol turut dirampas dan dibawa ke pangkalan Markas Operasi PPM Semporna untuk tindakan lanjut.

“Nilai rampasan keseluruhan dianggarkan berjumlah RM16,164.

“Kes disiasat mengikut Seksyen 21 Akta Kawalan Bekalan 1961 yang sabit kesalahan boleh didenda RM1 juta atau penjara,” katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 10 September 2019 @ 10:44 AM.
https://www.hmetro.com.my/mutakhir/2019/09/495119/stesen-minyak-dalam-hutan-bakau

Komen