SOROK 9 JUBAH CURI DI CELAH KANGKANG; WANITA, 50, DITAHAN POLIS TAWAU

SOROK 9 JUBAH CURI DI CELAH KANGKANG; WANITA, 50, DITAHAN POLIS TAWAU

TAWAU: Seorang wanita warga asing ditahan selepas disyaki mencuri sembilan jubah dengan menyembunyikannya di celah kangkang di sebuah pasar raya di Jalan Habib Hussien dekat sini, malam tadi.

Kejadian pada jam 7 malam itu disedari seorang pekerja pasar raya terbabit yang kemudian menahan suspek berusia 50 tahun berkenaan di pintu keluar premis.

Ketua Polis Daerah Tawau, Asisten Komisioner Fadil Marsus, berkata sebelum kejadian, pekerja itu menyedari kehadiran seorang wanita dalam keadaan mencurigakan lalu memerhati gerak-geri suspek yang kemudian dilihat memasukkan beberapa pakaian ke celah kangkangnya.

Seterusnya, beliau berkata, suspek dengan selamba berjalan keluar dari premis itu sebelum ditahan oleh pekerja yang kemudian melakukan pemeriksaan.

“Pekerja itu kemudian mendapati ada sembilan jubah di celah kangkang wanita itu sebelum suspek diserahkan kepada polis untuk tindakan lanjut,” katanya kepada media di sini, hari Khamis.

Fadil berkata, berdasarkan siasatan awal, suspek tidak memiliki dokumen pengenalan diri yang sah dan kini ditahan bagi membantu siasatan mengikut Seksyen 380 Kanun Keseksaan kerana mencuri. – Nasrawati Syarifuddin/bharian.com.my di siar pada February 1, 2018

https://www.bharian.com.my/berita/kes/2018/02/383367/sorok-9-jubah-curi-di-celah-kangkang

Komen