Shafie tak puas hati kebersihan di Semporna

Shafie tak puas hati kebersihan di Semporna

KETUA Menteri, Datuk Seri Mohd Shafie Apdal berucap pada program Sabah Bebas Sampah: Semporna Bersih dan Indah yang diadakan di Padang Pekan Semporna, hari ini.

SEMPORNA: Ketua Menteri, Datuk Seri Mohd Shafie Apdal tidak berpuas hati dengan tahap kebersihan di daerah ini yang disifatkan boleh menjejaskan kedudukannya sebagai destinasi tumpuan pelancong asing.

Beliau berkata, kegagalan meningkatkan tahap kebersihan menyebabkan pengunjung tidak akan datang semula ke daerah ini, sekali gus menjejaskan perniagaan dan perkembangan sektor pelancongan yang menjadi antara penyumbang terpenting ekonomi Sabah.

“Semporna antara daerah di Sabah yang menjadi tumpuan pelancong di peringkat antarabangsa khususnya pelancong China dan Eropah. Namun secara keseluruhan, saya melihat tahap kebersihan di daerah ini belum memuaskan.

“Sekiranya kebersihan daerah dan premis seperti restoran tidak dijaga dengan baik, bukan hanya tempat pelancongan tidak akan dikunjungi, malah restoran juga tidak akan didatangi pelancong lagi seterusnya bakal menjejaskan mata pencarian.

“Harus diingat bahawa sektor pelancongan adalah tulang belakang yang menyumbang kepada hasil negeri jadi masyarakat harus lebih bertanggungjawab supaya memastikan sampah dibuang di tempat yang sepatutnya,” katanya.

Beliau berkata demikian pada sidang media selepas melancarkan program Sabah Bebas Sampah: Semporna Bersih dan Indah yang diadakan di Padang Pekan Semporna, di sini, hari ini.

Yang turut hadir Timbalan Menteri Dalam Negeri, Datuk Mohd Azis Jamman; Pembantu Menteri Pertanian dan Industri Makanan negeri, Dr Daud Yusof, Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Bugaya, Datin Manis Muka Mohd Darah dan Pegawai Daerah Semporna, Bianus Kontong.

Semporna terkenal sebagai destinasi pelancongan bertaraf dunia kerana memiliki pulau dan kawasan penyelaman cantik seperti Pulau Sipadan yang dikenali sebagai antara lokasi tumpuan aktiviti menyelam di dunia.

Mengulas lanjut, Mohd Shafie yang juga ADUN Senallang, berkata kerajaan negeri akan mengambil tindakan sewajarnya jika pihak berwajib yang terbabit dalam kerja pembersihan tidak melakukannya dengan baik.

“Sekiranya didapati mana-mana pekerja yang bertanggungjawab melakukan kerja pembersihan tidak melaksanakan tugas dengan baik, saya meminta supaya pegawai daerah mengambil tindakan ke atas mereka.

“Selain itu, saya turut menggesa semua pihak berwajib di seluruh Sabah untuk memainkan peranan mengatasi masalah kebersihan. Kesedaran mengenai kebersihan juga harus diterapkan bermula dengan murid,” katanya.

Seramai kira-kira 3,000 peserta hadir menjayakan aktiviti membersihkan sekitar pekan Semporna membabitkan jabatan dan agensi kerajaan, badan bukan kerajaan ( NGO ) serta warga sekolah. -Bharian

Komen