SEORANG JUVANA DI DAKWA DI MAHKAMAH MAJISTRET ATAS KESALAHAN TRAFIK DI TAWAU

SEORANG JUVANA DI DAKWA DI MAHKAMAH MAJISTRET ATAS KESALAHAN TRAFIK DI TAWAU

TAWAU; 14 FEBRUARI 2020 (Jumaat) – Seorang remaja yang terlibat atas kesalahan Trafik kerana memandu dalam keadaan melulu sehingga mengakibatkan kemalangan jalanraya pada 8 februari lalu dihadapkan ke mahkamah majistret di Tawau, hari ini.

Remaja terbabit didakwa dibawah Seksyen 42(1) Akta Pengangkutan Jalan (APJ) yang memperuntukkan hukuman penjara tidak melebihi 5-tahun dan denda tidak kurang dari 5-ribu ringgit atau sehingga maksimum 15-ribu ringgit jika sabit kesalahan.

Tertuduh yang berumur 17 tahun merupakan murid sekolah yang akan mengambil peperiksaan Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) tahun ini ditemani kedua ibubapa yang hadir mendengar pertuduhan.

Hakim Mahkamah Magistret Yang Arif Tuan Amir Shah Amir Hassan membenarkan remaja terbabit diikat jamin sebanyak 800-ringgit dengan jaminan ibu bapa sementara sebutan semula kes di Mahkamah Kanak-Kanak ditetapkan pada 27 februari depan selepas mendapat ‘Laporan Akhlak’ daripada Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) selepas pertuduhan dibacakan.

Sementara kes berkenaan yang dikendalikan Pegawai Pendakwa, ASP Joan Lee dari Bahagian Siasatan dan Penguatkuasaan Trafik (BSPT) turut memohon kepada mahkamah bahawa pesalah kanak-kanak (tertuduh) tidak dibenar memandu apa juga jenis kenderaan sehingga kes selesai.

Hakim Majistret Yang Arif turut memutuskan sebagai syarat tambahan, tertuduh yang tidak memiliki lesen memandu turut tidak dibenar memandu sebarang kenderaan sehingga kes selesai.

Sementara itu, bagi pertuduhan Kes Dadah, Tertuduh turut akan dituduh bersekali dengan seorang lagi rakan Juvana yang ada bersama-sama tertuduh didalam kenderaan ketika kejadian pada 8 februari lalu kira-kira pukul 10.30 malam.

Tarikh Pendakwaan akan ditentukan kemudian dan didakwa di bawah Seksyen 39A(1) Akta Dadah Berbahaya (ADB) 1952.

Bagi kes dadah itu juga, Kedua-dua remaja terbabit dibebaskan dengan jaminan polis atas arahan Yang Arif Timbalan Pendakwaraya sementara barang rampasan dadah (syabu) berkenaan masih dirujuk ke Jabatan Kimia.

Terdahulu, RTM melaporkan berlaku aksi kejar mengejar selama setengah jam antara tertuduh dengan pihak polis semasa tertuduh yang diminta memberhentikan kenderaan dipandu dan enggan berbuat demikian sehingga mengakibatkan kemalangan jalanraya membabitkan kenderaan milik orang awam lain dan kenderaan Polis.

Turut dijumpai dadah seberat 5.11-gram yang disembunyikan di bawah alas kaki bahagian pemandu kenderaan pacuan empat roda yang dipandu Tertuduh.

Untuk rekod, tujuan juvana (pesalah kanak-kanak) diberi jaminan polis sementara pihak polis akan merujuk juvana ke JKM untuk penyediaan laporan akhlak.

#BESTAWAUfm

Komen

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *