Semporna yang tidak sempurna…

Semporna yang tidak sempurna…

SEMPORNA. Mungkin tidak ramai yang tahu kewujudannya. Apatah lagi letaknya di sebuah bandar terpencil di Sabah. Tatkala sedang melayari internet untuk mengetahui tentang Semporna, saya terus terpukau dengan kecantikan yang terpapar pada skrin komputer. Terus bibir menguntum senyuman, dalam hati pula berbisik, “Alangkah bertuahnya jika aku dapat ke sana.”

Pucuk dicita ulam mendatang, selang beberapa hari, saya menerima perkhabaran gembira iaitu terpilih ke Semporna mengikuti program kesukarelawan MYCorps Intermission Malaysia. Maka terbanglah saya ke sana dengan perasaan membuak-buak mahu melihat keindahan semula jadi Semporna.

Walau bagaimanapun, selama sebulan berada di sana, ternyata begitu mengecewakan, tidak seperti diimpikan. Tiada yang sempurna di Semporna. Laut yang sepatutnya bersih dan tenang dipenuhi sampah. Kanak-kanak yang sepatutnya berada di sekolah, berkeliaran meminta sedekah di jalanan. Dan individu-individu yang sepatutnya bekerja untuk membantu menjana ekonomi negara, berkeliaran tanpa hala tuju kerana tiada aktiviti ekonomi yang boleh dilakukan. Perit hati ini melihat kebanyakan orang di sana terpaksa hidup kais pagi makan pagi, kais petang makan petang.

Kenapa? Kerana mereka tiada dokumen pengenalan diri! Disebabkan ketiadaan dokumen ini, harapan mereka untuk menikmati kehidupan lebih sempurna hanya tinggal harapan. Bandar ini bagaikan ‘direstui’ oleh pelbagai masalah. Dalam hati rasa seolah-olah telah ditipu oleh gambaran mengasyikkan seperti dilihat dalam alam maya sebelum ini.

Ego
Namun satu kejadian pada 25 Disember tahun lalu ternyata menyedarkan diri saya daripada keegoan. Ketika itu, jam menunjukkan pukul 7 pagi, tiba-tiba pintu rumah yang saya diami bersama sukarelawan MYCorps Intermission Malaysia diketuk bertalu-talu. Sebaik sahaja dibuka, seorang pelajar sekolah kami di sana, Rin nampak begitu cemas.

“Adikku sudah meninggal. Adikku sudah meninggal,” jeritnya.

Kami terkejut lalu bergegas ke rumahnya. Semasa bersiap hinggalah sampai di rumah Rin, saya hanya membisu. Diam kerana baru dua hari lepas, kami berjumpa bayi yang sakit itu. Ibunya berkata, sakit anaknya yang berlanjutan selama tiga bulan semakin pulih selepas menerima rawatan doktor. Sebelum ini, bayi itu sakit kerana hanya diberi susu tin sebagai makanan.

Sepanjang perjalanan, pelbagai soalan bermain dalam fikiran, mengapakah bayi ini meninggal? Masih hidupkah bayi ini jika dapat rawatan lebih awal? Sihatkah bayi ini kalau ibu bapanya mampu memberi suplemen atau ubat-ubatan kepadanya? Tetapi soalan yang paling penting, samakah nasib bayi ini jika ia atau keluarganya mempunyai dokumen kewarganegaraan?

Marah
Sebagai seorang doktor, saya marah dengan tindakan ibunya yang memberi susu tin kepada anaknya selepas seminggu dilahirkan. Tidak tahukah dia yang susu tin itulah menyebabkan obesiti epidemik yang merisaukan di negara kita? Segala nutrien yang seseorang perlukan boleh didapati hanya daripada susu ibu. Malah tidak kira betapa mahalnya susu formula yang dibeli, ia tidak setanding kehebatan susu ibu. Jadi mengapakah mereka ini terlalu jahil sehingga meletakkan nyawa anak sendiri dalam bahaya? Tetapi sebagai seorang individu yang telah berjanji untuk tidak prejudis terhadap orang lain, saya mendapati diri sendiri dalam dilema memikirkan tentang apa yang saya tengah perdebatkan itu.

Mereka ini adalah golongan tanpa kerakyatan, orang susah dan terhimpit. Apakah hak saya untuk melabelkan ibu bapa Rin sebagai manusia yang tidak berkelayakan untuk mempunyai anak apabila saya sendiri tidak tahu tentang perjuangan perit bagi menyara keluarga mereka?

Tahukah anda bahawa terdapat kira-kira 50,000 orang daripada golongan stateless di Malaysia? Golongan gelandangan ini dinafikan hak mereka daripada sebuah kehidupan yang sejahtera. Dalam kisah yang saya kemukakan tadi, hanya kerana keluarga bayi itu daripada golongan tanpa kerakyatan, mereka tidak dapat menerima rawatan yang baik. Malah apa-apa caj rawatan di hospital kerajaan terlalu mahal bagi mereka berikutan taraf foreigner dimiliki.

Stateless bukanlah perkara baharu bagi rakyat Sabah terutama di Semporna. Walaupun kita faham akan impak negatif isu ini, namun hanya diambil mudah oleh kita. Sudah terlalu banyak kali masalah stateless ini dibincangkan atau dibahaskan di Parlimen, namun demikian tiada jalan penyelesaian konkrit untuk menanganinya sekali gus mengaburi masa depan golongan ini.

Secara jujur, selama sebulan di sana, kebenaran yang menyedihkan adalah kanak-kanak stateless ini seakan-akan tidak wujud dalam kalangan masyarakat kita. Rakyat Malaysia bagaikan tidak peduli tentang kesusahan golongan itu. Hati saya bagai dihiris sembilu melihatkan keperitan hidup mereka setiap hari. Tetapi apa yang menyedihkan lagi, kehadiran mereka juga tidak dialu-alukan masyarakat setempat. Bayangkan anda tidak mempunyai negara, terpaksa menetap di Malaysia sebagai penduduk tidak sah taraf dan jika ingin pulang ke negara asal, tetap mendapat status sama seperti di sini. Kehidupan mereka umpama ‘neraka dunia’.

Cadangan
Saya ingin mengesyorkan beberapa solusi untuk golongan yang tiada kewarganegaraan ini.

Pertama, menyediakan pendidikan kepada kanak-kanak golongan ini jika hendak menghalang kitaran ganas kemiskinan. Kerajaan dengan kerjasama pertubuhan bukan kerajaan (NGO) boleh meluaskan lagi sekolah alternatif. Kalau mereka dihantar ke sekolah awam, kebarangkalian tinggi mereka tidak dapat mengikuti apa yang diajar kerana tidak pernah menerima asas pendidikan rasmi.

Pendidikan alternatif terbukti berkesan di negara-negara Asia lain seperti India, Filipina, Indonesia, Nepal, Bangladesh dan Myanmar. Setiap program ini walaupun bermatlamat sama tetapi diselaraskan mengikut tradisi dan budaya masing-masing. Sekolah alternatif sudah wujud di Malaysia untuk pelarian Rohingya di bawah Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu bagi Pelarian (UNHCR) dengan dibantu beberapa NGO.

Selain itu, kita juga boleh bekerjasama dengan organisasi antarabangsa seperti UNHCR atau Tabung Kanak-Kanak Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (UNICEF) untuk melaksanakan program kesihatan. Kita boleh menubuhkan Stateless Clinic. Mereka boleh dinasihati dan diajar mengamalkan cara hidup dan pemakanan seimbang selain menjaga kebersihan persekitaran bagi mengelak daripada penyakit berjangkit antaranya HIV.

Harapan saya hanya satu – kesejahteraan semua individu di negara ini. Tidak malukah kita yang hidup dalam kesenangan apabila melihat ramai lagi yang hidupnya seperti anggung-anggip bagai rumput tengah jalan (peribahasa Indonesia bermaksud hidup yang serba susah)? Apa silap kanak-kanak stateless ini sehingga nyawa mereka terpaksa digadaikan? Mengapakah mereka terpaksa menerima hukuman seberat ini sedangkan mereka ini tidak berdosa?

PENULIS ialah sukarelawan MYCorps Intermission Malaysia.

Komen