Selepas 20 tahun, baru tahu kampung belum diwartakan

Selepas 20 tahun, baru tahu kampung belum diwartakan

NOORALA bersama ahli jawatankuasa Penggiat menunjukkan pelan asal Kg Pasir Putih Baharu yang dikeluarkan pada 1997.

TAWAU: Penduduk Kg Pasir Putih Baharu terkejut selepas mendapati kampung yang dihuni lebih 5, 600 penduduk itu masih belum mempunyai geran penempatan yang sah.

Pengerusi Pertubuhan Penggiat Komuniti Kg Pasir Putih Baharu (Penggiat) Noorala Muh Tang berkata selama ini pihaknya menyangkakan kampung mereka sudah diwartakan.

“Bayangkan, kami sudah tinggal di kampung ini sudah lebih 20 tahun tetapi baharu sekarang diketahui bahawa status permohonan untuk pewartaannya belum diluluskan.

“Perkara ini hanya diketahui semasa kami cuba mendaftarkan pertubuhan Penggiat di Pendaftar Pertubuhan (ROS), yang kemudiannya meminta geran pewartaan kampung.

“Apabila kami merujuk kepada Pejabat Tanah dan Ukur (PTU) Tawau, kami sangat terkejut apabila diberitahu mengenai status sebenar kampung yang belum diwartakan.

“Kami ingatkan Kg Pasir Putih Baharu sudah lama memiliki geran berkelompok, kerana hal itulah yang selalu diwar-warkan kepada penduduk kampung selama ini,” katanya.

Noorala berkata demikian semasa ditemui pemberita sempena Majlis Perjumpaan dan Sesi Dialog Bersama Pengarah Jabatan Tanah dan Ukur (JTU) Sabah di sini pada Isnin.

Mengulas lanjut, pihaknya turut terkilan apabila diberitahu kampung mereka berada dalam senarai Unit Setinggan, sedangkan mempunyai pelbagai infrastruktur kerajaan.

“Kami benar-benar berharap supaya kampung ini dapat diwartakan dan kalau boleh kami mahu mendapatkan geran tanah individu bukannya geran berkelompok,” katanya.

Menurutnya, maklum-balas yang diberikan oleh Pengarah JTU Sabah Datuk Safar Untong untuk membantu proses pewartaan kampung itu amat dialu-alukan oleh mereka.

Beliau berkata PTU Tawau juga sudah memanggil mereka ke pejabat pada Selasa untuk menemui jurutera tanah daerah dan mendapatkan pelan dan persempadanan kampung.

“Kami berterima kasih dengan maklum-balas drastik Pengarah JTU Sabah dan pihak PTU Tawau kerana sudi memberikan perhatian terhadap permasalahan ini,” katanya. UtusanBorneo.com.my

oleh AMIR ANUAR /

Komen

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *